Wajah Siti Nurhaliza terpapar pada skrin besar di New York

Wajah Siti Nurhaliza terpapar pada skrin besar di New York. Penyanyi terkenal negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin meluahkan penghargaan apabila wajahnya dipaparkan di papan digital tersohor New York Times Square, Amerika Syarikat.

Jelas Siti, penampilannya mewakili negara sejajar bersempena kempen EQUAL oleh wadah penstriman digital tersohor dunia, Spotify.

“Bersyukur saya dapat berita hari ini kerana diberi penghormatan apabila wajah saya dipaparkan di papan iklan digital tersohor New York Times Square, Amerika Syarikat.

“Penampilan saya mewakili negara Malaysia pada papan iklan ini adalah sebahagian daripada kempen EQUAL oleh wadah penstriman digital tersohor dunia, Spotify.

“EQUAL adalah sebuah program peringkat global oleh Spotify yang ingin memupuk kesamaan wanita dengan memaparkan artis-artis wanita dari seluruh dunia,” katanya.

Tambah Siti, terdapat 35 senarai lagu atau playlist EQUAL yang meliputi artis dari 50 negara.

Malah, penyanyi popular negara itu turut wakili lagu EQUAL Malaysia dan Singapura.

Siti bukanlah satu nama asing buat rakyat Malaysia. Namanya bukan sahaja sudah dikenali di tanah airnya sendiri tetapi juga di negara-negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Brunei dan beberapa bahagian lain di dunia.

Wanita asal Kuala Lipis ini mula mencuri perhatian selepas menyertai arena muzik tempatan pada 1995. Sejak itu, suaranya yang luar biasa terus mencetus fenomena dunia hiburan sehingga dirinya dimartabatkan sebagai penyanyi nombor satu negara.

Dengan lebih 20 buah album, ratusan anugerah tempatan dan antarabangsa, aneka konsert mega termasuk persembahan gah di Royal Albert Hall di London, Siti Nurhaliza sememangnya layak menerima penghormatan ini.

Dirahmati dengan suara yang unik dan keperibadian yang menyenangkan, Siti yang kini bergelar isteri dan ibu kepada dua orang cahaya mata terus mengukuhkan kedudukannya dengan pembabitan dalam pelbagai projek profesional serta kebajikan serantau.

Siti juga menjadi warga Malaysia kelima untuk menghiasi papan iklan digital di Times Square selepas Yuna, Layla Sania, kumpulan DOLLA dan Iman Troye.

Wajah Siti Nurhaliza terpapar pada skrin besar di New York

BACA:

Situasi sedih di mesin ATM, bapa ulang-alik tengok baki akaun, “anak belum masuk duit, baki RM11”

Tengku Zafrul tegaskan OPR naik beri manfaat kepada M40, tak bebankan peminjam

CATEGORIES