Golongan kaya sering melakukan pelbagai ‘perbuatan gila’ untuk menunjukkan kemewahan melampau mereka di platform media sosial dan seumpamanya.
Baru-baru ini, tular video seorang pempengaruh kontroversi yang menunjukkan kekasihnya dari Rusia berjalan
Di atas timbunan wang tunai yang digunakan sebagai ‘permaidani’ semasa turun dari helikopter.
Video tersebut dimuat naik di Instagram dengan harapan mendapat pujian netizen, namun ia sebaliknya mencetuskan kecaman ramai.
Mereka mengutuk tindakan usahawan yang dikenali sebagai Sergei Kosenko atau Mr Thank You itu sebagai ‘menjijikkan’ kerana dianggap menghina wang.
Dalam video itu, Kosenko menghamparkan bungkusan duit seperti permaidani, dan kekasihnya melangkah keluar dari helikopter tersebut dengan berhati-hati.
Ramai netizen meluahkan rasa meluat terhadap wang tunai yang dijadikan sebagai ‘permaidani’, manakala ada yang mempersoalkan sama ada wang kertas itu sebenarnya palsu.
Seorang netizen menulis dalam kapsyen bahawa wang tunai tersebut sangat berharga kepada mereka yang memerlukannya, dan perbuatan memijaknya dianggap sebagai menghina rezeki.
“Anda mungkin sangat kaya, tetapi cara ini tidak membenarkan anda memperlakukan wang tunai sebegitu. Sebaliknya, anda sepatutnya membantu ratusan keluarga dan memberi makan kepada golongan yang sedang kelaparan,” kata netizen tersebut.
Di Instagram, Kosenko menggambarkan dirinya sebagai seorang pencipta, penyanyi, dan usahawan dengan pengikut mencecah 43 juta orang.
Pada tahun 2021, Kosenko pernah dikecam kerana mengikat kekasihnya di atas kereta Bentley dan pada tahun yang sama, dia ditendang keluar dari sebuah kelab malam di Bali, Indonesia kerana melanggar peraturan Covid-19.