Vaksin Covid-19 : Singapura dijangka selesai suntik semua rakyatnya tahun ini

Vaksin Covid-19 : Singapura dijangka selesai suntik semua rakyatnya tahun ini

Singapura sewajarnya berupaya memberikan vaksin COVID-19 kepada seluruh penduduk di republik ini pada tahun ini, dengan syarat bekalan diperoleh seperti dijadualkan, demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Lee yang telah melengkapkan regimen penuh vaksinasi pada 29 Jan lepas berkata setakat ini, seramai 250,000 orang telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 di Singapura.

“Kami telah memberikan vaksinasi kepada rata-rata petugas barisan hadapan dan petugas khidmat perlu, dan kini vaksinasi tertumpu pada warga tua yang berusia melebihi 70 tahun,” katanya dalam perutusan tahunan Tahun Baharu Cina yang dikeluarkan di Singapura hari ini.

Sambil menzahirkan ucapkan terima kasih kepada rakyat atas sokongan berterusan dalam mematuhi sekatan dan peraturan ketat yang perlu dilaksanakan kerajaan bagi mengawal penularan virus berkenaan, Lee berkata langkah ketat berkenaan, seperti mengehadkan perhimpunan keluarga dan kunjungan sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, adalah penting kerana virus itu masih menular dengan pantas di seluruh dunia.

“Pada Januari, kami melihat gelombang jangkitan baharu disebabkan sambutan tahun baharu di kebanyakan negara dengan rata-rata orang berkumpul dan tidak berhati-hati. Ini adalah sesuatu yang harus kita pelajari dan elak berlaku di Singapura,” kata perdana menteri itu.

“Oleh kerana sambutan Tahun Baharu Cina adalah masa untuk berkumpul dan meraikan, Lee berkata, dengan penularan COVID-19, “maka mungkin adalah lebih penting untuk menzahirkan penghargaan kepada ahli keluarga kita.”

“Saya tahu, sekatan ini sedikit sebanyak akan menyuramkan suasana sambutan. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang keluarga besar, namun, langkah berjaga-jaga ini adalah penting demi keselamatan orang yang kita sayangi. Saya pasti anda akan menggunakan kaedah lain untuk mengadakan majlis perjumpaan dan berhubung dengan ahli keluarga serta rakan atau dapat melakukannya melalui panggilan video atau telesidang.

“Apabila pandemik ini berakhir, mungkin kita dapat meraikan dalam suasana yang lebih meriah,” katanya.

Walaupun vaksinasi adalah secara sukarela, Singapura menyediakan bekalan vaksin bagi semua rakyatnya dan penduduk jangka panjang di republik itu dan ia diberikan secara percuma.

Pada 3 Feb, Singapura telah memberikan kelulusan sementara bagi vaksin COVID-19 keluaran Moderna, sebagai vaksin kedua yang akan digunakan di Singapura dan dijangka tiba pada Mac 2021.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/562619