Utusan dedah TH Plantation rugi dan terpaksa jual aset

Utusan dedah TH Plantation rugi dan terpaksa jual aset

Utusan Malaysia hari ini melaporkan tentang kerugian besar sebuah anak syarikat Tabung Haji (TH) iaitu Tabung Haji Plantation (THP) dengan kerugian terkumpul sebanyak RM 1.24 bilion.

Utusan Malaysia juga melaporkan ulasan sumber dalam industri yang membekalkan maklumat kepada Utusan Malaysia bahawa untuk menangani masalah kerugian THP itu, mereka punyai 3 pilihan. Pilihan Pertama: terbitkan saham. Pilihan Kedua: buat tambahan pinjaman. Pilihan Ketiga: jual aset bagi tampung kerugian dan bebanan hutang. Pilihan Pertama dan Kedua adalah sangat sukar dan bakal menambah masalah yang sedia ada. Maka yang mampu dilakukan dengan cepat adalah menjual aset yang sakit atau gagal membawa keuntungan.

Masalah terbesar yang sukar difahami orang awam adalah bagaimana THP menjadi rugi dan punyai beban hutang yang besar sehingga terpaksa menjual aset? Penjualan aset hanya berlaku tatkala THP tidak mampu lagi menanggung rugi yang berlarutan dan kerugian itu menjadi semakin teruk.

Contoh saya berikan berdasarkan kenyataan media yang diterbitkan sendiri oleh THP pada November 2019 tentang sebab kenapa pemilikan tanah melalui DUA SYARIKAT terpaksa dilupuskan atau dijual. Dua syarikat itu adalah: i) Bumi Suria Ventures Sdn. Bhd. dan; ii) Maju Warisanmas Sdn Bhd.

Dua syarikat ini dibeli pada tahun 2013 oleh THP pada kos RM 264.2 juta. Pembelian dua syarikat ini adalah bagi mendapatkan tanah yang dimiliki kedua-dua syarikat ini di Sarawak yang seluas 6 513.8 hektar. Tanah ini berada di Sibu dan Bintulu, Sarawak yang mempunyai penanaman kelapa sawit.

Pada tahun 2012, panel bebas penilai tanah telah mentaksirkan bahawa dari 6 513.8 hektar, hanya 5 700 hektar boleh ditebus guna atau tanahnya boleh dibuat pertanian. Ini bermaksud, seluas 813.8 hektar tidak boleh digunakan bagi tujuan pertanian.

Namun, pada November 2018, hasil tinjauan udara, untuk menilai semula keluasan tanah sebenar, didapati HANYA 4 842 hektar sahaja yang boleh ditebus guna untuk pertanian. Ini bermakna, tanah seluas 6513.8 hektar yang dibeli oleh THP pada tahun 2012, 1 671.8 hektar TIDAK BOLEH digunakan untuk bercucuk tanam.

Oleh yang demikian, penilain harga tanah itu telah jatuh menjunam dari harga kos belian iaitu RM 264.2 juta kepada harga penilaian hujung 2018 hanya RM 183.9 juta sahaja atau RM 11 425 per ekar. Ini bermaksud, THP telah kerugian RM 80.3 juta.

Selama 4 tahun dari 2014-2018, tanah yang dibeli ini mengeluarkan hasil. THP membuat unjuran/jangkaan hasil yang boleh diterima. Sebagai contoh: pada 2014, THP menjangkakan hasil yang boleh didapatkan adalah 67 990 metrik tan. Tetapi setelah dituai hasil, hanya 27 605 metrik tan sahaja atau hanya 40.6% sahaja yang mampu dicapai dari jangkaan/unjuran asal yang dibuat oleh THP.

Hasil kelapa sawit dari tanah ini merudum paling teruk pada 2016 apabila unjuran hasil yang dibuat adalah sebanyak 121 890 metrik tan tetapi hasil yang benar-benar dituai hanya 24 841 metrik tan sahaja. Itu bermaksud, hanya 20.4% sahaja yang mampu dicapai pada tahun 2016 dari unjuran yang dibuat.

Disebabkan pencapaian 2 syarikat itu yang sangat teruk, THP terpaksa terus menyuntik dana bagi memastikan operasi syarikat yang dibeli dengan harga RM 80.3 juta lebih mahal dari harga yang sepatutnya.

Oleh kerana ketidakmampuan THP untuk terus menanggung kerugian, pada awal Disember 2019, THP mengumumkan penjualan dua syarikat ini kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd pada harga RM 170 juta, RM 13.9 juta lebih murah dari harga yang dinilai pada akhir 2018.

Kenapa dijual kepada Tamaco? Kenapa lebih murah? Saya dimaklumkan, sungguhpun telah dua kali tawaran penjualan dua syarikat ini dibuat, tidak banyak syarikat yang berminat melainkan Tamaco Plantation Sdn. Bhd. kerana faktor lokasi, status tanah yang berbagai dan boikot EU terhadap hasil minyak sawit.

Usaha pembelian ini dimulakan pada tahun 2012 dan dimuktamadkan pada tahun 2013. PH hanya mendapat kuasa pertengahan 2018. Cuba tanya diri kita sendiri, siapa penyamun dan penyangak yang melakukan semua ini dan membiarkan semua ini terus berlaku? Dan kemudian, pihak yang ingin menyelamatkan pula dituduh mengancam Melayu-Islam?

Abu Hafiz Salleh Hudin
Kuala Lumpur

Berita penuh :