USM lahir 159 pakar oftalmologi – Dr Wan Hazabah

Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya melatih 159 Pakar Oftalmologi (mata) yang berkhidmat dengan masyarakat dalam golongan berpendapatan 40 peratus ke bawah (B40).

Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM Kampus Kesihatan, Prof Dr Wan Hazabah Wan Hitam berkata Pakar Oftalmologi tersebut adalah termasuk penuntut antarabangsa termasuk dari Sudan, Bahrin, Iran, Iraq dan Australia.

“Ini menunjukkan sambutan yang baik dalam bidang oftalmologi berdasarkan lebih 200 permohonan dan temu duga yang diadakan, malah dengan lahirnya 159 graduan bidang ini.

“USM juga menawarkan latihan sub kepakaran (program fellowship) bagi tempatan dan luar negara dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan tiga universiti bergabung iaitu USM, Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Usaha ini diharap dapat mengukuhkan lagi kerjasama dalam pembelajaran, latihan dan penyelidikan bidang oftalmologi ke arah masa depan lebih cerah untuk meningkatkan tahap kualiti kehidupan rakyat terutama kalangan B40,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Perasmian Pembukaan Simposium Oftalmologi USM Ketujuh di Hotel Perdana di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Kesihatan Kampus USM, Prof Dr Adam Husein, yang turut dihadiri, Timbalan Dekan PPSP USM, Prof Dr Abdul Razak Sulaiman; Ketua Jabatan Oftalmologi USM, Prof Dr Shatriah Ismail; Pengerusi Simposium, Prof Madya Datin Dr Zuraina Embong; Pensyarah Oftalmologi, Prof Dr Liza Sharmini Ahmad Tajudin dan Prof Madya Dr Adil Husein.

Prof Dr Wan Hazabah berkata simposium bersepadu yang pertama antara universiti-universiti kebangsaan tempatan dan KKM tersebut diadakan dari semalam sehingga esok.

Tema persidangan tahun ini “Kontroversi Semasa Dalam Oftalmologi” itu diadakan bertujuan menggalakkan perdebatan dan perbincangan berasaskan bukti dalam kalangan moderator, penceramah dan peserta dengan tumpuan khusus terhadap isu-isu kontroversi dalam bidang oftalmologi.

“Antara kejayaan dalam bidang ini ialah USM mengepalai pusat rujukan oftalmologi di Pantai Timur dan Utara Semenanjung melibatkan kira-kira 200 hingga 300 pembedahan berjaya dilakukan dan pesakit juling kanak-kanak dan dewasa dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kekuatan kita yang lain ialah adanya klinik komuniti mata melibatkan pensyarah, doktor perubatan sarjana dan penuntut menerusi Program Khidmat Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan mengadakan pemeriksaan mata termasuk kepada Orang Asli di pedalaman, selain progres program dengan Pusat Dalam Komuniti (PDK) bagi anak-anak istimewa bagi masalah pembelajaran,” katanya.

Katanya, kejayaan lain jabatan berkenaan termasuk penerbitan jurnal pertama Oftalmologi Malaysia melibatkan semua universiti yang diterbitkan dengan satu tahun bersama empat isu daripada persidangan, persembahan dan cetusan idea penyelidik, pensyarah dan pelatih.

BERNAMA