Ramai yang mengikuti trend menyimpan emas 999.9 jenis wafer dengan berat kurang daripada 0.5 gram
sebagai pelaburan masa hadapan, koleksi peribadi, atau hadiah.
Selain harganya yang “murah” dan mudah dimiliki, emas ini dikeluarkan bersama kad yang dihiasi
dengan pelbagai rekaan menarik dan tema tertentu seperti Hari Raya Aidilfitri, Covid-19, hari lahir, dan Hari Kebangsaan.
Namun, adakah simpanan emas jenis wafer yang kurang daripada 0.5 gram ini benar-benar berbaloi jika dibandingkan dengan barang kemas perhiasan?
Untuk rekod, kebanyakan emas wafer dengan pelbagai corak dalam pasaran dijual pada berat serendah 0.2 gram ke atas. Emas wafer 0.2 gram menjadi pilihan ramai kerana harganya yang murah, iaitu sekitar kurang daripada RM150 bagi setiap kepingan, bergantung kepada harga emas semasa.
Melalui hantaran di laman TikTok, pengendali akaun Emas STM Shah Alam Seksyen 18 menjelaskan situasi pelaburan emas jenis wafer ini.
Menurut wakil jualan premis tersebut, emas wafer seberat kurang daripada 0.5 gram merupakan produk pilihan kebanyakan masyarakat masa kini kerana ia dianggap mudah “dicairkan” pada bila-bila masa.
Bagaimanapun, kebanyakan pemilik kedai emas menghadapi kesukaran untuk membeli wafer emas tersebut disebabkan beberapa faktor. Malah, ada yang membeli semula dengan harga yang lebih rendah berbanding nilai semasa.
“Sebenarnya bukan mudah bagi pemilik kedai untuk menjual semula… kerana jenis wafer ini memang rumit untuk diambil oleh kedai.
“Emas ini nipis dan biasanya melekat pada plastik laminasi. Jadi, pihak kedai perlu melelehkan emas tersebut bersama plastik sebelum memisahkannya.
“Banyak kerja yang perlu dilakukan. Bukan kedai tidak mahu mengambilnya, tetapi sukar untuk mendapatkan kepingan emas tersebut,” katanya.
Jurucakap premis itu juga menyatakan bahawa pihaknya mengambil masa sehingga satu hari untuk mendapatkan kepingan emas berkenaan.
“Pembungkusan emas ini memang cantik, tetapi sukar untuk mengeluarkannya dari plastik. Ada kedai yang memang tidak mahu mengambil langsung.
“Jadi, fikir-fikirkanlah sebelum membeli emas wafer untuk pelaburan.
“Jika nak simpan emas, pastikan betul-betul. Memang ia berharga, tetapi jika sukar untuk dijual semula, ia tidak akan menjadi pelaburan yang baik.
“Jika nak beli emas, beli satu gram atau sekurang-kurangnya 0.5 gram… lebih mudah untuk kita jual semula kepada pihak kedai emas,” ujarnya memberi nasihat.
BACA: ‘Muhyiddin tidak relevan’ Adun Kedah dedah Wan Fahysal perlekeh Presiden Bersatu