Undi tak percaya ikut perlembagaan, peguam sekolahkan Muein Abadi

Undi tak percaya ikut perlembagaan, peguam sekolahkan Muein Abadi

Dua hari lepas saya telah tulis satu posting mengenai Parlimen. Dalam posting tu, saya nyatakan yang saya kurang setuju undi tidak percaya kepada PM8 dibuat pada masa sekarang ketika negara dilanda krisis. Apa yang dirisaukan kalau negara terus terjerat dengan polemic politik yang berterusan. Sekiranya berlaku krisis perlembagaan atau pembuburan parlimen, pada hemat saya ia bukan menguntungkan Rakyat. Tambah ketika Covid sedang melanda dan ekonomi negara sedang merudum.

Kena ingat, ketika politikus sibuk dengan Langkah Sheraton la kluster Tabligh berlaku. Walaupun ada salah-menyalah antara PH atau PN, satu yang kita tak boleh sangkal, masing2 sibuk dengan kuasa. Sampai lupakan kepentingan Rakyat.

Ramai yang kurang setuju dengan posting saya, termasuk rakan2 dari PH sendiri. Tidak mengapa, masing2 ada pendirian berdasarkan pandangan masing2. Saya hormat pandangan yang berbeza. Semua ada hak untuk beri pandangan. Cuma pada saya, apapun yang dibuat perlu utamakan Rakyat dan Negara. Namapun “Wakil Rakyat” yang “berkhidmat untuk negara”. Maka Negara dan Rakyat perlulah didahulukan. Langkah politik kena kebelakang. Buat masa sekarang.

Walaupun pada saya “timing” kurang sesuai untuk Langkah Parlimen dibuat, namun tidak boleh disangkal punca kuasa untuk undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri secara jelas termaktub dalam Perlembagaan.

Hari ini saya terbaca nukilan Saudara Abdul Muein Abadi yang menghurai panjang mengenai undi tidak percaya. Pada pandangan beliau, undi tidak percaya kepada PM bersamaan dengan derhaka kepada Agong dan tidak harus dilakukan. Pada saya, pandangan beliau tidak menyeluruh mengikut Perlembagaan dan ada kekhilafan. Pohon saya betulkan.

Pertamanya, beliau selitkan Perkara 43 (4) Perlembagaan tetapi gagal mengulas lanjut peruntukan tersebut. Fasal tersebut menyebut “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang Dipertuan Agong.”

Dalam fasal ini, jelas membenarkan usul tidak percaya kepada PM dibuat. Sama ada melalui undi dalam Dewan Rakyat atau sekiranya PM sendiri merasakan beliau tiada lagi kepercayaan majoriti. Ini yang dibuat PM7 ketika beliau meletakkan jawatan sebagai PM. Beliau sendiri merasakan bahawa beliau tiada kepercayaan majoriti disebabkan banyak Wakil Rakyat PH dari parti Bersatu dan PKR yang mahu keluar dari PH.

Saudara Muein seharusnya melihat perkara ini dan kaitkannya dengan Perkara 43 (4). Jelas yang PM7 bertindak mengikut Perlembagaan. Walaupun beliau kurang bernasib baik, beliau tidak jadi PM8, proses peletakan jawatan tetap berjalan mengikut undang-undang.

Seterusnya, selepas meletak jawatan, mengikut fasal yang sama, PM punya kuasa dan boleh meminta YDPA untuk membubarkan Parlimen. YDPA boleh menerima dan menolak permintaan tersebut. Dalam konteks peletakan jawatan PM7, tiada permintaan dibuat untuk membubarkan Parlimen. Sekiranya tiada permintaan dibuat untuk pembubaran Parlimen, YDPA punya kuasa untuk melantik PM yang baharu sebagaimana yang beliau buat ketika melantik PM8. Beliau lantik seorang PM, “yang pada hematnya mungkin mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan”: ayat Perkara 43 (2) (a). Setakat ini, saya berpandangan semuanya teratur mengikut Perlembagaan.

Namun, untuk terus menjalankan tugas sebagai PM, beliau perlu sentiasa mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Ia satu keperluan dalam Perkara 43 (4). Kerana tanpa kepercayaan majoriti, mengikut Perlembagaan seorang PM perlu letak jawatan. Maka dengan itu jelas, undi percaya/ tidak percaya secara konvensyen dibenarkan untuk menzahirkan sokongan atau tolakan ke atas kepimpinan seorang PM. Ini perlu dibezakan dengan kuasa YDPA untuk melantik PM.

Perlu saya ingatkan saudara Muein, sistem perlembagaan kita menggunapakai sistem Westminister dari England. Di sana dan di kebanyakan negara Komenwel, undi percaya/ tidak percaya ini adalah perkara biasa. Perdana Menteri United Kingdom sekarang, Boris Johnson pada awalnya dilantik bukan melalui pilihanraya tetapi melalui undi percaya di Parlimen. Beliau menggantikan Perdana Menteri Theresa May yang meletak jawatan sebelum habis penggal. Di UK juga sama, pelantikan PM adalah budi bicara Permaisuri England yang melantik PM berdasarkan kepercayaan majoriti Ahli Dewan. Tiada bezanya dari Malaysia.

Saya percaya saudara Muein juga tahu, pada hujung tahun 2019 PM Boris Johnson mencabar parti pembangkang untuk membuat undi tidak percaya ke atasnya. Tak langsung disambut hingga kini. Beliau kekal sebagai Perdana Menteri. Sama juga di Australia, dalam satu penggal pilihanraya, PM boleh bertukar 2-3 kali. Sama ada melalui undi percaya atau tidak percaya. Ianya sebahagian daripada proses demokrasi. Tiada pula dimomokkan di UK atau Australia undi percaya/ tidak percaya ini adalah “treason” atau derhaka kepada Permaisuri.

Mengenai isu ini, saya berpandangan lebih baik saudara Muien nasihat Kerajaan sekarang usulkan undi percaya kepada Perdana Menteri. Senang, boleh tutup mulut pembangkang. Tiada lagi boleh dibisingkan Kerajaan pintu belakang atau tebuk atap. Undi percaya/ tidak percaya ini pada saya, blessing in disguise kepada Kerajaan juga. Dengan undi percaya kepada PM, kita boleh move on dan focus pada pandemik dan Rakyat. Kalau dah gerenti, ada nombor yang mencukupi why not? Let it be done and over with. Dan terus kerajaan boleh berfungsi dan tidak hanging. Benda ni bukan benda baru, pernah dibuat dahulu. Perdana Menteri Tun Hussein juga dilantik begitu. Undi percaya ke atas beliau pada tahun 1976. Dalam Dewan Rakyat di Parlimen. Beliau dilantik jadi PM3.

Cuma yang risau kalau takde undi majoriti, berbalik kepada kerisauan saya tadi. Adakah ada pembubaran atau lantik Kerajaan baru. Berapa lama rakyat kena tunggu? Namun, saya percaya Agong kita buat keputusan betul. Betul la tu pada masa tu, PM8 ada majoriti undi. Makanya, takde masalah nak masuk usul percaya pada Perdana Menteri. Just get it done and over with. Boleh teruskan business as usual. Senang cerita.

Wallahu a’lam.

Salam hormat,
Liyana Marzuki

Sumber: