Pemain permainan video dalam talian Free Fire dikejutkan apabila salah seorang lawan mereka yang paling ganas dan licik adalah seorang nenek berusia 81 tahun.
Maria Elena Arevalo, yang tinggal di sebuah perkampungan kecil dengan tutur kata lembutnya,
Menjadi pemburu tanpa belas kasihan apabila menewaskan saingan dalam permainan.
Dalam permainan ini, puluhan juta pemain bersaing menembak untuk bertahan di pulau terpencil dalam khayalan.
Memakai apron, Arevalo mempunyai sedikit persamaan dengan watak alter ego dalam talian iaitu ‘Mami Nena’, gelaran yang diberi oleh cucu tunggalnya, Hector Carrasco, 20 tahun.
Carrasco yang memperkenalkan Arevalo kepada dunia permainan digital memberikan nafas baru dalam kehidupan neneknya yang kesunyian selepas kematian suaminya empat tahun lalu.
“Saya tidak tahu apa itu tetikus. Selepas itu, saya teruja.
“Saya berasa lebih baik kerana saya tidak terlalu memikirkan mengenai mendiang suami saya lagi.
“Pada mulanya, saya tidak mahu ‘mencederakan’ sesiapa tetapi lama-kelamaan saya puas,” katanya kepada AFP di rumahnya di bandar Llay-Llay di tengah Chile.
Kini, Arevalo bermain di peringkat ‘Heroic’ hampir mencapai peringkat tertinggi iaitu Grandmaster yang hanya melibatkan 300 pemain.
Walaupun berusia lanjut, Arevalo mempunyai empat juta pengikut di TikTok dan 650,000 di YouTube yang menjadi mediumnya berkongsi petua dengan rakan pemain.
Tahun lalu, Arevalo melawat Mexico City dalam perjalanan berbayar semua perbelanjaan sebagai duta Free Fire untuk sambutan ulang tahun permainan itu. Ia adalah pengembaraan sulungnya ke luar negara.
Pada awal bulan ini, Arevalo disenaraikan dalam kelompok 100 warga emas Chile yang paling penting oleh akhbar El Mercurio dan Universiti Katolik kerana membantu ‘memecahkan’ stereotaip tentang usia.
Sementara itu, Carrasco kagum dengan neneknya yang kini menjadi individu terkenal.