UMNO, PAS, Bersatu berebut kerusi Melayu, rakyat jadi mangsa

UMNO, PAS, Bersatu berebut kerusi Melayu, rakyat jadi mangsa

Timbalan Presiden Umno, Mohamed Hassan bukanlah pemimpin pertama yang menegaskan parti itu tidak pernah menyertai Perikatan Nasional (PN) atas alasan ia bukan satu entiti politik yang berdaftar seperti Barisan Nasional (BN).

Umno juga mengakui, selain BN, mereka hanya ada persefahaman politik dengan Pas, melalui Muafakat Nasional. “Sesuatu selain dari MN dan BN, adalah tidak strategik kepada kelangsungan Umno,” kata Mat Hassan.

“Sebagai parti Melayu terbesar, Umno mesti bertanding di semua kerusi tradisionalnya dan kerusi yang ia sangat berpotensi untuk menang. Kekuatan Umno adalah di kawasan ‘the Malay heartland’ dan ia akan menguatkan pengaruh, keterlihatan dan khidmatnya di semua kawasan tersebut,” tambahnya, membayangkan dalam PRU15 Umno akan menentang calon-calom Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin.

Sebelum Mat Hassan, naib presiden Umno dan ramai ahli majlis tertingginya menyuarakan pandangan yang sama. Penglibatan Umno dalam Kabinet Muhyiddin didakwa hanya satu persefahaman “untuk menyelamatkan Malaysia kerana kemelut politik ….” Tambahan pula wakil rakyat Umno, walaupun mempunyai bilangan paling ramai dalam kerajaan, tidak diberikan potfolio strategik dan jumlah menteri bersesuaian, seperti ahli Parlimen Bersatu.

Bukan rahsia lagi, Umno dan Bersatu sedang bersaing untuk menjadi parti Melayu paling dominan dan berpengaruh dalam kerajaan. Masing-masing akan saling tikam-menikam dan menjatuhkan sesama sendiri. Tempoh tiga tahun sebelum penggal parlimen berakhir bakal menyaksikan siri insiden pengkhianatan dalam persaingan merebut pengaruh itu.

Selama 60 tahun berkuasa, Umno tidak pernah dicabar sebagai parti penentu dan penakrif kerajaan, baik semasa Perikatan mahupun BN. Ia seolah-olah memonopoli segala sumber kuasa atau memerintah secara mutlak. Itulah juga yang menyebabkan, parti-parti komponen, seperti MCA, Gerakan dan MIC, merasa tersisih dan diketepikan, serta menjadi punca kehilangan pengaruh yang ketara dalam kalangan pengundi bukan Melayu.

Atas faktor yang sama juga, beberapa pemimpin Bersatu yang pernah menjadi anggota pentadbiran pada era BN, misalnya Muhyiddin sendiri, ditambah ahli-ahli Parlimen Umno yang melompat parti menyertai Bersatu selepas PRU14, tidak selesa berkongsi kuasa dalam Pakatan Harapan (PH) dan rimas bersama DAP. Sentimen kerajaan tanpa DAP ini dimarakkan lagi dengan penolakan terhadap Anwar Ibrahim, sehingga kerajaan PH runtuh hasil pembelotan serta kerakusan kuasa Umno-Pas.

Justeru, kita melihat semua pihak yang terlibat dalam pengkhianatan ini masing-masing ghairah untuk merebut habuan dan kepentingan walaupun negara sedang diancam krisis yang dahsyat. Saiz kabinet terpaksa dibesarkan, jawatan timbalan menteri digandakan, posisi pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diserahkan kepada ahli parlimen kerajaan. Manakala ruang untuk mempersoalkan legitimasi “kerajaan tebuk atap” ditutup serapat mungkin.

Malang sekali nasib rakyat yang dihimpit petaka besar. Sudahlah mandat mereka dicabuli, pengurusan bencana kini berada dalam genggaman politikus yang pentingkan tembolok sendiri. Negara akan menyaksikan pertembungan tajam kelompok-kelompok dalaman yang mempersiapkan kekuatan untuk memenangi PRU15. Bukan sahaja Umno dan Bersatu saling berebut pengaruh di konstituensi Melayu, malah Pas juga pasti cuba mengukuhkan kedudukannya di kerusi-kerusi atau negeri-negeri majoriti Muslim itu. Agihan sumber dan peluang di Kelantan dan Terengganu sendiri belum terlaksana dengan baik, misalnya komposisi anggota exco kerajaan negeri.

Ya, apalah yang hendak diharapkan kepada kumpulan-kumpulan politik yang terbukti licik menggunakan kesempatan bagi menjatuhkan saingan mereka. Tiada pertimbangan akhlak dan idealisme perjuangan, malah penbentukan kerajaan pintu belakang itu pun, tanpa manifesto dan iltizam pembaharuan. Kita masih belum mendengar komitmen untuk menbuat perubahan dasar dan polisi sebagaimana lazimnya kerajaan baharu.

Benarlah telahan bijak pandai, sekali khianat, ia tidak akan berakhir. Proses pengkhianatan itu pasti berterusan dan menunggu korban seterusnya. Rakyat juga bakal menanggung beban berpanjangan. Kerajaan yang dibina tanpa asas kukuh bermakna didirikan atas landasan yang rapuh. Elit politik lebih disibukkan untuk mempertahan kuasa, dan terus membeli sokongan dengan pelbagai sogokan, serta memenuhi impian para penyokong. Sementara ruang demokrasi semakin sempit. Dalih negara diancam darurat dan wabak maut dipergunakan.

Manakala keghairahan melampau tokoh tertentu, misalnya Azmin Ali, untuk menjadi perdana menteri, tentu sahaja sukar dikawal. Bekas timbalan presiden PKR yang membesar dalam era Reformasi pun boleh mengkhianati Anwar, maka siapalah Mat Hassan mahupun Zahid Hamidi, malah Muhyiddin sendiri, boleh meredakan gelora impiannya itu? Namun harus diingat konstituensi hampir semua ahli Parlimen PKR yang menyertai Bersatu itu merupakan kerusi campuran, seperti Gombak, Ampang dan Bandar Tun Razak; sememangnya berstatus gelap untuk calon bukan PH.

Berita penuh :https://malaysiadateline.com/pertembungan-tajam-bersatu-umno-di-konstituensi-melayu-geng-azmin-sah-ditolak-pengundi/

COMMENTS