Umno mahu MCA kembalikan kepercayaan masyarakat cina kepada BN

Umno mahu MCA kembalikan kepercayaan masyarakat cina kepada BN

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Norden menegaskan MCA perlu segera mengembalikan kepercayaan masyarakat Cina di negara ini untuk kembali menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, sudah tiba masanya masyarakat Cina kembali kepada BN setelah keadaan negara terjejas di bawah pentadbiran kerajaan yang lemah dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

“Signifikan Tahun Lembu 2021 yang membawa makna kerja kuat, positif dan jujur perlu menjadi asas untuk masyarakat Cina kembali memikirkan semula dua tahun keadaan negara yang terjejas di bawah pentadbiran yang lemah.

“MCA perlu terus memainkan peranan utama dan bekerja kuat untuk membawa semula masyarakat Tiong Hua bersama Barisan Nasional,” katanya di laman Facebook pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, norma baharu tidak akan sesekali mengubah pendekatan keharmonian dan muafakat antara kaum yang sudah lama menjadi asas kepada kemajmukan negara.

Menurutnya, walaupun bukan kerajaan, khidmat bakti dan membantu rakyat tanpa mengira kaum serta agama tetap menjadi keutamaan BN.

“Masyarakat perlu hidup bermuafakat bagi menjadikan bandar ini terus sejahtera dan maju. Jadi, sempena tahun baru ini, ayuhlah bangkit dengan resolusi baru. ‘Tahun Baru, Impian Baru’,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, UMNO akan terus mempertahankan muafakat dan persepakatan bersama MCA melalui BN.

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/122746/BERITA/Politik/MCA-perlu-kembalikan-kepercayaan-masyarakat-Cina-kepada-BN

COMMENTS