Umno dan Bersatu Perak, retak menanti belah

Umno dan Bersatu Perak, retak menanti belah

Kerajaan Perak berisiko tumbang selepas hampir 7 bulan akibat rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Umno negeri terhadap rakan gabungan mereka PPBM, kata seorang pemimpin parti itu.

Pemimpin yang tidak mahu dinamakan itu memberitahu FMT, ada kebenaran untuk melaporkan “semua dalam keadaan tidak baik” antara 2 parti Melayu di negeri itu, yang bekerjasama dengan PAS dalam Perikatan Nasional.

Merujuk laporan Malaysiakini yang memetik pemimpin Pakatan Harapan (PH), pemimpin itu berkata, hubungan antara Umno dan PPBM tegang berhubung beberapa isu.

Menurut laporan itu, Ketua Penerangan PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai Arafat juga mendakwa sekurang-kurangnya 6 Adun Umno sedia bekerjasama dengan PH.

“Saya takkan kata pemimpin Umno sedia bekerjasama dengan PH – pemimpin Umno takkan bekerjasama dengan DAP – tetapi ini tak bermaksud kita akan terus sokong Peja,” katanya merujuk nama panggilan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Sumber itu berkata, pemimpin Umno Perak “kesal” dengan cara Faizal memerintah negeri itu dan cubaan PPBM menguasai politik, walaupun Umno mempunyai kerusi terbanyak di Dewan Undangan Negeri.

“Dan sekarang beliau melantik Aznel Ibrahim (Adun Pengkalan Hulu dari Umno) sebagai setiausaha politik. Kita terkejut sebab tak dibawa berunding.

“Jadi, disebabkan kita tidak akan bekerjasama dengan PH, jika ada usul tidak percaya terhadap Peja di DUN, beliau mungkin tak dapat sokongan semua Adun Umno.”

Pentadbiran negeri Perak, yang terdiri daripada Barisan Nasional, PPBM dan PAS dibentuk Mac lalu berikutan pertukaran kerajaan di Putrajaya.

Gabungan itu, bersama sokongan seorang Adun Gerakan dan Adun bebas menguasai 35 daripada 59 kerusi di DUN, dengan bakinya dipegang PH.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Faizal satu-satunya calon PPBM yang memenangi satu kerusi, sementara Umno memenangi 27 kerusi.

PPBM kemudiannya menambah jumlah kerusinya menjadi 5, selepas menerima 2 Adun Umno yang dipecat parti mereka, serta wakil rakyat dari PKR dan Amanah.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/13/rasa-tak-puas-hati-dalam-umno-perak-ancam-kerajaan-negeri-rapuh/

COMMENTS