Umno akan mengkhianati PPBM dan Muhyiddin – Sheikh Omar

Umno akan mengkhianati PPBM dan Muhyiddin – Sheikh Omar

Pergeseran dalaman antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) sememangnya wujud dan ia akan membengkak menjadi kudis yang tidak akan sembuh.

Perang mulut antara Ahli Parlimen Mersing yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dan UMNO menunjukkan signal bahawa tidak wujud sama sekali kerjasama ‘adik beradik’ antara parti-parti yang mendukung kerajaan PN.

Hal ini akan lebih jelas. 6 bulan pertama, pandemik Covid19 seolah-olah ‘blessing in disguise’ buat pentadbiran PN. Namun untuk hari-hari mendatang, kita bakal menyaksikan fasa pertelingkahan dalaman yang lebih hebat lagi.

Bagi UMNO, kewujudan PN adalah senjata untuk mereka merampas kuasa daripada PPBM yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden dan Mantan Presiden UMNO sendiri secara terang-terangan membalas kenyataan Ahli Parlimen Mersing dari PPBM itu dengan mengisytiharkan untuk mengambil kembali kerusi parlimen Mersing.

Zahid Hamidi dan Najib Tun Razak bukan sahaja memperbudak-budakkan orang-orang dan menteri PPBM, malah ia merupakan tamparan kepada Tan Sri Muhyiddin apabila kesilapan menterinya itu telah menjejaskan peluang PPBM untuk mempertahankan kerusi parlimen Mersing.

Perang mulut ini adalah bibit-bibit awal bagaimana UMNO akan menelan PPBM menjelang PRU 15 yang akan datang.

Keadaan ini pastinya akan menjadikan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak punya pilihan lain samada kembali menyertai UMNO dan berkuburnya PPBM atau kekal sebagai PM minoriti yang menunggu nasib dibaham oleh pewaris regim kleptokrat pada bila-bila masa.

Sebelum PRU 15 lagi, kini kita dapat melihat bagaimana UMNO memainkan peranan menentukan posisi-posisi penting dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang diisi orang-orang UMNO, seolah-oleh tidak ada langsung tokoh yang layak daripada PPBM.

Hakikat yang dapat kita pelajari dari episod pengkhianatan politik ini cukup jelas. Sejarah juga telah membuktikan; setiap perbuatan khianat akan pastinya berakhir dengan siri-siri pengkhianatan seterusnya.

Pengkhianat tidak akan pernah mendapat kepercayaan oleh rakan pengkhianat yang lain. Kumpulan ini akan hidup dalam paranoid setiap masa. Sedikit demi sedikit, mereka pasti akan ditelan oleh dosa-dosa politik mereka sendiri.

Pakatan Harapan boleh menjadi contoh tauladan yang baik kepada rakyat bagaimana kita kekal bersatu dan istiqamah tak kira sewaktu susah mahupun senang. Biar kita susah asal tidak mengkhianati rakyat dan parti.

TAMAT

Sumber:

COMMENTS