Umat Islam diseru jadi pelopor kelestarian alam sekitar

Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1441H, Datuk Seri Dr Ir Zaini Ujang menyeru umat Islam untuk menjadi pelopor kepada kelestarian alam sekitar.

Beliau yang merupakan ilmuwan dalam bidang alam sekitar berkata alam sekitar perlu dijaga dengan baik bagi memastikan umat Islam mudah menjalankan tanggungjawab beribadah kepada Allah.

“Contoh, nak sembahyang kena ada air. Kalau tiada air, kita kena cari tanah untuk bertayamum. Jadi kita juga kena melestarikan tanah supaya ia tidak tercemar untuk kita bertayamum.

“Dalam hidup kita mesti sentiasa nak cari air dan tanah untuk kita laksanakan tanggungjawab kita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Beliau yang juga sedang dalam proses menerbitkan buku 40 Hadis Tentang Alam Sekitar berkata, selain itu kebersihan tandas juga perlu dititikberatkan.

“Saya juga sedang melaksanakan inisiatif memastikan tandas awam di Malaysia sentiasa bersih. Jadi hijrah saya tahun ini ialah untuk mengajak masyarakat kita menjaga tandas di sekeliling kita sama ada di rumah, sekolah, tempat kerja, atau tempat awam,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada tiga anak perempuan dan seorang lelaki berusia 17 hingga 27 tahun ini dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan tahun ini atas sumbangan besar beliau dalam melestarikan alam sekitar.

Zaini menerima hadiah wang tunai RM100,000, pingat serta sijil penghargaan Kerajaan Malaysia dan RM10,000 daripada Yayasan Ubaidi, yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau juga akan menyampaikan syarahan dalam ‘International Forum on Islamic Thought 2019: Revitalizing Maqasid Shariah Towards A Compassionate Governance’ pada Rabu ini di sini.

Pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Alam Sekitar dari Universiti Newcastle, United Kingdom, telah menghasilkan lebih 40 buku, 300 kertas akademik dan lebih 2,000 artikel berkaitan alam sekitar dan pendidikan.

Zaini juga pernah menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Sembilan 2010 dan Anugerah Merdeka 2009.

BERNAMA