Susulan daripada pemakaian Azwan Ali yang menyerupai wanita, pendakwah bebas PU Syed tampil memberi teguran kepada personaliti TV tersebut.
Menerusi video yang dimuat naik di Instagram, PU Syed, atau nama penuhnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak, menyifatkan pemakaian Azwan sebagai keterlaluan.
“Saya ingin menegur, kamu adalah seorang yang dikenali di seluruh masyarakat
kerana kamu merupakan seorang artis dan pengacara yang hebat suatu ketika dahulu.
Tetapi kenapa kamu pergi sejauh ini? Kenapa perlu berpakaian seperti seorang wanita?” ujarnya.
PU Syed juga berkongsi hadis Nabi Muhammad SAW yang melarang umat Islam berpakaian menyerupai jantina yang berlainan.
“Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.
Video ini viral dan memalukan kita sebagai umat Islam. Kita perlu menentang perbuatan yang menyerupai jantina yang berlainan kerana ia adalah perbuatan yang haram.”
Pendakwah berusia 42 tahun itu turut menasihati Azwan agar kembali menjadi insan yang lebih baik.
“Jadi, mengapa mahu melakukan seperti itu? Tiadakah cara lain untuk hidup di atas muka bumi Allah? Sedangkan kita dikenali, bukankah ia salah satu perkara yang mencemar agama sendiri? Walaupun saya pasti Azwan mempunyai ilmu dan pendidikan yang tinggi, tetapi kenapa dia pergi ke arah ini?”
PU Syed meminta Azwan untuk tidak melakukannya dan melakukan perkara lain yang lebih bermanfaat, serta berubah untuk menjadi lelaki yang normal dengan kehidupan yang lebih baik.
“Justeru, saya menegaskan agar Azwan meninggalkan perbuatan tersebut dan mendekatkan diri kepada jalan Allah.
Bukankah ini melawan fitrah? Ianya sangat memalukan, terutamanya pada usia yang sepatutnya mendekatkan diri kepada Allah tetapi kita mendekatkan diri kepada perkara lain.”
“Saya tegur bukan sekadar untuk dia, tetapi juga kepada orang lain di luar sana yang terpengaruh dengan cara hidup ini agar tidak melakukan perkara tersebut kerana ia dilarang.”
Terdahulu, tular video yang menunjukkan Azwan sedang bernyanyi dan berpakaian wanita dalam sebuah majlis sambutan hari jadi.
BACA: 3 bulan rahsiakan pertunangan, sah Eyka Farhana tunangan kepada Akhyar Rashid