U-turn moratorium : Menteri kewangan harus letak jawatan

U-turn moratorium : Menteri kewangan harus letak jawatan

Saya meneliti pelbagai maklum balas dan komen-komen susulan pindaan atau pusingan-U terhadap moratorium.

Dasar ke sana ke sini.

Mereka yang umum, mereka yang batalkan.

Saya bersimpati dengan rakyat biasa yang mengharapkan agar ada sedikit kelegaan untuk penangguhan bayaran ansuran bank selama 6 bulan tanpa perlu tanggungan bayaran faedah atau keuntungan bank.

Dengan perkembangan terbaru, pasti ramai yang kecewa.

Walaupun masih ada segelintir yang cuba mempertahankan pusingan-U ini, bagi saya cubalah letak kepentingan jawatan dan politik ke tepi dan fikirkanlah cabaran yang terpaksa dihadapi orang Malaysia.

Nak kecam, kecamlah.

Cuma apa salahnya kalau kita bantu ringankan beban rakyat.

Saya bersependapat dengan kenyataan sdr Chang Lih Kang, MP Tanjung Malim/Naib Presiden KEADILAN seperti berikut:

Pusingan-u moratorium satu penganiayaan

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah membuat satu pengumuman tentang moratorium pinjaman sewa beli selama 6 bulan agar beban rakyat akibat PKP dapat diringankan. Dalam ucapan khas pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat, Perdana Menteri telah memberi gambaran bahawa moratorium pinjaman sewa beli akan dilakukan tanpa tunggakan faedah terakru. Demi memudahkan pemahaman, Perdana Menteri memberi contoh keluarga Makcik Kiah, yang dapat jimat RM1800 daripada moratorium pinjaman sewa beli kereta selama 6 bulan.

Malangnya, baru selepas satu bulan, Perikatan Nasional telah membuat pusingan-u atas polisi tersebut. Menurut kenyataan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), kini bank akan kenakan faedah moratorium atas pinjaman sewa beli. Peminjam yang mengambil moratorium diberi 2 pilihan, sama ada membayar penangguhan ansuran terkumpul 6 bulan (April hingga September) bersama dengan ansuran Oktober 2020 tanpa dikenakan faedah tambahan; atau lanjutkan 6 bulan tempoh bayaran balik selepas tarikh matang kontrak, faedah akan dikenakan.

Saya mengecam sekeras-kerasnya pusingan-u moratorium ini, yang merupakan satu penganiayaan Perikatan Nasional terhadap rakyat jelata. Keputusan ini hanya akan membebankan para peminjam dan menguntungkan industri perbankan. 2 pilihan yang diberi kepada peminjam amat tidak munasabah. Sekiranya peminjam berupaya untuk membayar balik penangguhan ansuran terkumpul 6 bulan secara sekali gus, mereka tidak perlu mengambil moratorium. Maka, kebanyakan peminjam terpaksa memilih pilihan kedua, iaitu melanjutkan tempoh bayaran balik selepas tarikh matang kontrak dan dikenakan faedah tambahan.

Keluarga Makcik Kiah terpaksa simpan RM1800 yang “dijimat” akibat moratorium ini, dan membayar balik kepada bank pada bulan Oktober nanti, supaya tidak dikenakan faedah tambahan. Maka, apa maknanya “penjimatan” ini jika wang yang “dijimat” tidak boleh dibelanja? Polisi yang tidak masuk akal ini akan menyebabkan keluarga Makcik Kiah yang sebelum ini diwar-warkan banyak dapat bantuan menjadi bahan ketawa jiran tetangga.

“Dalam keadaan di mana kebanyakan rakyat hidup dalam kesengsaraan, keputusan kerajaan untuk membuat pusingan-u dalam perkara ini amat mengecewakan. Perikatan Nasional telah menyediakan hadiah Hari Pekerja yang paling pahit kepada kaum pekerja di dalam negara kita.”

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul, yang juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB perlu jelaskan kepada rakyat jelata, dalam proses mencapai keputusan ini, beliau memainkan peranan wakil rakyat atau wakil industri perbankan? Adakah keputusan ini dibuat untuk menjaga kepentingan rakyat atau industri perbankan? Sekiranya Menteri tidak dapat memberi penjelasan yang wajar, beliau harus letak jawatan kerana gagal mempertahankan kepentingan rakyat.

Sumber :

COMMENTS