TV Harakah politikkan isu kemurungan dan bunuh diri, dakwa Aksi Muda

TV Harakah politikkan isu kemurungan dan bunuh diri, dakwa Aksi Muda

Akademi Siasah Anak Muda (Aksi Muda) membidas program Bicara Harakah yang membincangkan tajuk “Kemurungan dan Bunuh Diri semasa PKP: Apa Solusi Islam?” yang disifatkan sebagai program yang gagal dan tidak beretika.

Sehubungan itu, mereka menuntut Harakah selaku penganjur memohon maaf kerana telah mempolitikkan isu kemurungan dan bunuh diri.

Menerusi satu kenyataan media, hari ini, Aksi Muda menyelar moderator rancangan yang disiarkan di organ rasmi PAS, TV Harakah, Badzli Bakar kerana mengendalikan rancangan itu dengan penuh kata-kata berunsur stigma.

“Murung tidak boleh dikatakan sebagai gila. Berkali-kali istilah ini disalahgunakan oleh moderator.

“Dia banyak guna isu kemurungan dan bunuh diri untuk menyerang haters yang tidak sehaluan dengan pemikiran politiknya.

“Dia gagal berempati dengan pemandiri kemurungan dan bunuh diri,” kata Aksi Muda.

Turut menjadi sasaran adalah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Md Yusof kerana sekadar ketawa apabila mendengar kenyataan yang dibuat oleh Badzli.

“Tak sepatutnya seorang timbalan menteri itu ketawa berkali-kali apabila moderator menggunakan kemurungan dan bunuh diri untuk menyerang haters yang mengkritiknya.

“Sepatutnya YB Dato’ perlu tegur moderator tersebut. Program ini program yang gagal dan tak beretika,” kata Aksi Muda.

Dalam perbincangan secara maya itu, Badzli menyelar pengkritik dengan serangan dan gurauan kasar seperti “kita baca agar mereka tenang dan tidak membunuh diri.”

Ini pula kemudiannya disambut dengan gelak ketawa oleh Badzli dan Siti Zailah.

Aksi Muda, yang menyifatkan dirinya sebagai sebuah organisasi belia yang ditubuhkan untuk mendorong perubahan politik di Malaysia, turut berkongsi rakaman bicara berkenaan di laman Twitter Sekolah Politik.

Ia mengundang bidasan dan kecaman daripada warga maya yang berang dengan cara topik serius itu ditangani.

Aksi Muda bagaimanapun memuji dua panelis lain, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre dan Profesor Madya Siti Aisyah Hassan kerana tetap profesional dan memberi mesej yang tepat. – MK