Isu penceraian, terutamanya dalam kalangan selebriti, kini menjadi topik hangat di media massa tempatan.
Pelbagai tuntutan difailkan oleh kedua-dua pihak, baik suami mahupun isteri, termasuklah tuntutan nusyuz.
Oleh itu, adalah penting bagi orang ramai untuk memahami ilmu mengenai tuntutan nusyuz, yang merujuk kepada
keengganan isteri untuk mentaati perintah atau permintaan suami yang sah di sisi syarak.
Dalam bahasa yang lebih mudah, ia bermaksud menderhaka.
Mari kita ikuti perkongsian dan penjelasan dari Peguam Syarie Mahmud Jumaat di bawah ini.
TUNTUTAN NUSYUZ (DERHAKA): APA YANG ANDA WAJIB TAHU!
Kebanyakan tuntutan nusyuz sering ditolak kerana pihak pemohon gagal mengikuti langkah-langkah yang ditetapkan.
Saya tertarik selepas membaca tentang kes Tan Sri Musa Hassan dan Shamsul Yusof yang ingin mengemukakan tuntutan nusyuz terhadap isteri mereka setelah isteri mereka memfailkan permohonan cerai di mahkamah.
Ingin saya berkongsi sedikit tentang tuntutan nusyuz. Nampaknya sudah menjadi trend bahawa apabila isteri mula menuntut cerai, suami akan segera memfailkan tuntutan nusyuz.
Sebagai Peguam Syarie,
Bagi pihak suami, kita perlu menasihati anak guam mengenai prosedur dalam membuat tuntutan nafkah agar tuntutan anak guam dapat diterima di mahkamah. Bagi pihak isteri, kita perlu meneliti tindakan suami sama ada telah memenuhi prosedur yang ditetapkan agar tuntutan nafkah mereka ditolak.
Orang awam perlu tahu bahawa kesan dan akibat daripada tuntutan nusyuz, jika dibuktikan di mahkamah, adalah sangat serius. Hal ini kerana, tuntutan nafkah dan nafkah iddah oleh isteri terhadap suami boleh ditolak. Sekiranya didapati seorang isteri tidak taat kepada suaminya, ia boleh dianggap sebagai nusyuz dan suami tidak wajib memberikan nafkah semasa dalam keadaan nusyuz (rujukan: kitab Mu’in al-Mubin Juz 4, ms 83).
Apabila seseorang itu nusyuz, haknya untuk menerima nafkah, pakaian, dan giliran gugur (rujukan: kitab Kifayah al-Akhyar, Juz 2, ms 48). Oleh itu, mahkamah syariah sangat teliti dan tegas dalam membuat penghakiman apabila melibatkan isu tuntutan nusyuz.
KAEDAH TUNTUTAN NUSYUZ
Terdapat dua kaedah di mana tuntutan nusyuz boleh dibuat:
-Melalui tindakan saman
-Melalui pembelaan dan tuntutan balas
Kebanyakan kes berlaku hanya selepas isteri memfailkan permohonan cerai di mahkamah. Pihak suami akan terus memfailkan tuntutan nusyuz tanpa menyedari tindakan yang perlu diambil sebelum menerima saman daripada pihak isteri.
PANDUAN PROSEDUR MENGAMBIL TINDAKAN NUSYUZ
Secara ringkas, jika isu nusyuz ingin dibangkitkan dalam pembelaan dan tuntutan balas, langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengesahkan isteri telah nusyuz adalah:
1. Mengemukakan aduan di pejabat agama Islam daerah.
2. Melalui proses khidmat nasihat atau runding cara.
3. Pihak suami menghantar surat atau dokumen kepada isteri supaya kembali dan taat (surat AR register).
4. Menerima saman.
5. Memfailkan pembelaan dan tuntutan balas (rujukan: s 61(3)(b)(i) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003).
6. Perbicaraan.
7. Keputusan mahkamah.
(Yang Arif Tuan Hakim Zainor Rashid bin Hassin: ‘Isteri Nusyuz, Suami Nusyuz: Prosedur, Perlaksanaan dan Isu-Isu di Mahkamah Syariah’)
CONTOH KES NUSYUZ YANG DITOLAK & PUNCANYA
Merujuk kepada kes Nor Wasitah bt Hj Panot v Mohd Azri Bin Bunawi [2008] 3 3 SHLR 148, di mana pihak suami memfailkan tuntutan nusyuz hanya selepas pihak isteri memfailkan permohonan fasakh.
Mahkamah memutuskan untuk menolak tuntutan nusyuz suami atas alasan-alasan berikut:
Adalah jelas bahawa sebelum apa-apa tindakan diambil untuk mengisytiharkan isteri sebagai nusyuz, suami harus melalui ketiga-tiga peringkat yang telah dijelaskan dalam prosedur di atas.
Dengan kata lain, suami perlu berusaha memberi bimbingan dan nasihat supaya isteri mereka tidak melakukan tindakan-tindakan yang boleh menjadikan mereka sebagai isteri yang nusyuz.
Dalam kes ini, defendan tidak menjelaskan apa tindakan yang diambil untuk menasihati plaintif supaya kembali kepadanya, sama ada melalui kaunseling atau kaedah lain yang disebutkan.
Pensabitan nusyuz hanya boleh dibuat oleh mahkamah dan apabila mahkamah berpuas hati bahawa terdapat bukti kukuh menunjukkan bahawa seseorang isteri telah nusyuz.
Ini bermakna perisytiharan tersebut banyak bergantung kepada bukti-bukti yang kuat, di mana tanggungjawab untuk membuktikannya terletak pada suami jika dia mendakwa isterinya nusyuz.
BACA:Pelik tapi benar, kepala air keluar dari rumah ini jadi punca satu taman banjir