Tun M sendiri yang pilih untuk tidak bersama PH – Saifuddin

Tun M sendiri yang pilih untuk tidak bersama PH – Saifuddin

Dr Mahathir Mohamad sendiri memilih tidak bersama Pakatan Harapan (PH) selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata, bekas pengerusi Bersatu itu menolak jemputan menghadiri mesyuarat PH, selepas berlaku krisis politik pada Feb 2019 yang menyaksikan kerajaan PH tumbang.

“Sejurus selepas letak jawatan perdana menteri, saya sendiri yang menghubungi Tun menyampaikan jemputan PH minta hadir menyertai mesyuarat PH.

“Tun enggan hadir dengan alasan jika hadir mesyuarat PH, Tun juga mesti hadir perjumpaan dengan pihak-pihak bukan PH yang menyokong beliau.

“Dengan keputusan itu jelas Tun memilih tidak bersama PH yang telah meletakkan beliau sebagai PM ke-7. Apa perlu lagi Tun mahu disokong sebagai PM ke-8,” katanya kepada Malaysiakini.

Saifuddin berkata demikian ketika mengulas tulisan Dr Mahathir hari ini yang memperincikan bagaimana kerajaan PH tumbang dan Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri ke-7.

Mahathir berkata tidak munasabah untuk dia terus menjadi perdana menteri selepas PH tidak lagi menjadi kerajaan.

Tambahnya, walaupun Anwar berminat untuk menjadi perdana menteri namun PH sudah hilang majoriti untuk membolehkannya memegang jawatan itu.

“Tetapi Anwar hanya dapat 92 pencalonan dari PH sahaja. Sabah dan Sarawak tolak Anwar. Saya dapat 62 pencalonan kerana PH tolak saya.

“Jika PH calon saya seperti yang saya berhak dapat, saya akan dapat 154 undi. Saya sanggup kembali sebagai perdana menteri walaupun Bersatu tolak saya,” tulis Mahathir.

Kenapa Dr M tidak sokong Anwar?

Bagaimanapun, Saifuddin mendakwa tindakan Mahathir sendiri merupakan suatu pengkhianatan dan memungkiri janji yang telah disepakati dalam PH.

“Perjanjian PH yang Mahathir dan Muhyiddin mewakili Bersatu bersetuju Anwar gantikan Tun sebagai PM ke-8.

“Apabila Tun letak jawatan (tanpa bincang lagi) maka sokongan PH ke atas beliau sebagai PM berakhir. Langkah seterusnya ialah tunaikan janji letak Anwar sebagai PM ke-8.

“Jika Muhyiddin khianati, kita faham yang dia tak sokong Anwar. Tetapi kenapa Tun tak boleh sokong Anwar sebagai PM ke-8 seperti mana terakam dalam perjanjian PH yang Tun ikut tandatangan?”

“Dengan menyokong Anwar sebagai PM ke-8, PH hanya tunaikan apa yang dijanji. Bak kata pepatah “lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji”, tambahnya.

Untuk rekod, selepas Mahathir meletak jawatan, dia dilantik sebagai perdana menteri sementara oleh Yang di-Pertuan Agong.

Kesemua 222 wakil rakyat kemudian diberi peluang oleh Yang di-Pertuan Agong untuk mencadangkan calon mereka bagi dilantik sebagai perdana menteri.

PH mencadangkan nama Anwar, manakala Bersatu bersama 10 ahli parlimen diketuai bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali dan parti Warisan menyokong Mahathir kembali menjadi perdana menteri.

Seri Paduka bagaimanapun mendapati tidak ada sesiapa mempunyai sokongan majoriti mudah iaitu sebanyak 112 anggota parlimen.

Keadaan ini mendorong baginda memanggil ketua-ketua parti untuk memilih calon perdana menteri yang layak.

Muhyiddin akhirnya diangkat sebagai perdana menteri selepas mendapat sokongan BN, PAS dan GPS. – MK