Seorang kanak-kanak lelaki bernasib baik apabila terselamat selepas tercampak dari kenderaan
Yang dipercayai dipandu ahli keluarganya sebelum dilanggar dua kereta lain di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini.
Kejadian itu tular menerusi satu rakaman video berdurasi satu minit satu saat laman media sosial sejak semalam.
Rakaman itu menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki yang dianggarkan beusia lingkungan tiga tahun tercampak dari sebuah kereta sebelum dilanggar dua kereta.
Kanak-kanak itu cuba bangun untuk berlari sebelum diselamatkan oleh penunggang motosikal yang membawanya ke tepi jalan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali, berkata pihak polis menyedari kejadian itu selepas rakaman video terbabit tular di laman media sosial pada 11 malam tadi.
Beliau berkata, video itu memaparkan kemalangan membabitkan seorang kanak-kanak lelaki terjatuh dari kereta yang dinaiki lalu dilanggar dua kereta yang membuat pusingan U di lampu isyarat sebuah pasar raya.
“Kemalangan berlaku dipercayai akibat kegagalan pemandu kereta yang dinaiki oleh kanak-kanak itu untuk memastikan pintu penumpang sebelah kiri ditutup dengan kemas serta tidak memastikan kanak-kanak itu memakai tali pinggang keledar.
“Usaha mengesan kenderaan terbabit serta kanak-kanak itu masih dijalankan. Setakat ini tiada laporan yang dibuat mengenainya,” katanya.
Mohd Suhaimi berkata, kemalangan berkenaan sedang dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau menyeru orang ramai yang melihat kejadian kemalangan, pemandu yang terbabit dan perakam video berkaitan diminta tampil untuk membantu siasatan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Khairul Anuar Abdul Aziz di talian 09-7752355.
“Pihak polis juga menggesa orang ramai supaya berhati-hati dalam pemanduan semasa menggunakan jalan raya dan mematuhi undang-undang serta isyarat lalu lintas yang berkuatkuasa di negara ini,”