Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan insiden dialami penerjun negara, Ooi Tze Liang yang cedera di kepala
selepas terkena papan ajal ketika beraksi di dalam Kejohanan Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
Difahamkan, kepala penerjun berusia 31 tahun itu terkena papan anjal ketika sedang melakukan terjunan kedua
dalam pusingan akhir untuk acara 3 meter lelaki sehingga menyebabkan luka dan keluar darah di kolam.
Tze Liang yang kelihatan masih sedarkan diri itu segera didatangi oleh para petugas keselamatan (lifeguard)
lalu memeriksa keadaannya dan menarik penerjun terbabit keluar dari kolam.
Pasukan perubatan juga dengan pantas ke lokasi kejadian bagi memberikan rawatan segera sebelum penerjun berkenaan diusung keluar dengan tandu serta balutan di kepalanya.
Rakaman berdurasi satu minit 37 saat itu mencuri perhatian ramai selepas dikongsi oleh Astro Arena menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter).
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna X memuji tindakan pantas para petugas keselamatan dan perubatan dalam menjalankan tugas mereka.
Kepala Ooi Tze Liang terkena papan anjal ketika melakukan terjunan dalam Kejohanan Terbuka Malaysia pic.twitter.com/yE5rtQrwU4
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) November 2, 2024
Beberapa pengguna juga berharap tiada kecederaan serius yang berlaku selain mengirimkan doa supaya penerjun negara itu diberikan kesembuhan dengan segera.
“Tengok petugas laju macam ini baru puas hati. Kalau petugas perubatan dalam sukan badminton contohnya, terkial-kial datang dekat pemain,” kata seorang pengguna memuji kecekapan petugas.
“Saya ada di kolam waktu kejadian. Memang menakutkan. Tiba-tiba semua penonton senyap. Tengok penerjun selepas itu pun seriau juga. Harap sembuh dengan segera Oii Tze Liang. Semoga tiada yang serius.” Kongsi pengguna lain.
Dalam perkembangan sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan bahawa ujian Penggantian Mesin Computed Tomography (CT Scan) telah dijalankan ke atas Tze Liang dan keputusan mendapati penerjun itu berada dalam keadaan normal.
Baca juga: 3 bulan rahsiakan pertunangan, sah Eyka Farhana tunangan kepada Akhyar Rashid