Selama ini, jual beli organ sering kita lihat dalam filem Hollywood atau drama berkaitan jenayah.
Terbaru, sebuah laman Facebook telah ditutup selepas terbongkar membuka platform bagi pengguna media sosial itu untuk menjual buah pinggang.
Menurut laporan FMT, kumpulan Facebook bernama ‘Mencari Penderma Buah Pinggang’ itu aktif sejak Disember 2022 dengan jumlah ahli seramai 695 orang
namun kini telah tidak boleh diakses lagi. Dalam kumpulan tersebut, terdapat ahli tanpa nama (anonymous) yang menawarkan buah pinggang mereka dengan harga mencecah RM500,000.
Selain itu, ada hantaran yang mendakwa bahawa mereka yang menjual buah pinggang mengalami masalah kewangan dan terpaksa mengambil langkah tersebut.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan bahawa mereka menerima dua aduan mengenai kumpulan itu bulan lepas. “Kami sedang menyemak aduan untuk tindakan selanjutnya,” kata SKMM.
Sebelum ini, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham, menegaskan bahawa dakwaan mengenai pembelian dan penjualan organ harus dipandang serius dan disiasat.
Beliau menekankan bahawa aktiviti tersebut adalah eksploitasi terhadap kumpulan yang terdedah dan melanggar etika perubatan.