Tular gambar pemuda Pas bergotong royong pacak bendera ketika banjir sedang melanda

Tular gambar pemuda Pas bergotong royong pacak bendera ketika banjir sedang melanda

Dalam keadaan negara sedang diuji bah besar dan rakyat benar-benar memerlukan bantuan, Pas kalut menggerakkan gelombang hijau dengan memasang deretan bendera parti mereka.

Menerusi Facebook rasmi Dewan Pemuda Pas Terengganu, sekumpulan Pemuda Pas dilihat sedang memasang bendera parti itu di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit.

“Allahu Akbar. Apabila diisytiharkan, pemuda kami terus bekerja. Terbaik Dun Batu Rakit!” dipetik daripada hantaran di media sosial itu malam tadi.

Terdapat 14 gambar turut dimuatnaik dalam hantaran itu yang memaparkan aksi kira-kira 20 ahli Pas sedang memasang sejumlah bendera di beberapa lokasi termasuk memacaknya ke tanah berumput dan di simpang jalan.

Tindakan tersebut mengundang kecaman warganet yang mempersoal kewajaran Pas lebih mengutamakan politik bukannya kebajikan rakyat khususunya yang menjadi mangsa banjir.

Keterujaan ahli Pas memasang deretan bendera bersaiz besar di Terengganu juga mencetuskan persoalan ketika negeri itu turut terkesan dengan penutupan jalan akibat banjir.

“Orang tengah bantu mangsa banjir, ahli parti ana duk kalut nak pasang bendera parti,” sinis pengguna Facebook, Mohd Zamri.

Bagi Zaf Zi pula, beliau membangkitkan isu kes judi dan arak yang masih tidak selesai, namun parti Islam itu sudah sibuk memacak bendera.

“Kes judi, arak tak selesai lagi dah pacak bendera. Memang kalah jawabnya,” tempelaknya.

Ada juga menyindir mengaitkan paras banjir yang akan surut hasil pemasangan bendera Pas itu selain meraikan pergolakan Perikatan Nasional (PN) di Putrajaya.

Mereka turut menyelar Pas hanya mementingkan politik dan kuasa, tetapi tidak melakukan apa-apa untuk rakyat.

Sementara itu, ketika ahli Pas di Terengganu malam gelap sibuk memacak bendera di segenap ceruk, terdapat pemimpin parti tersebut malam tadi memberitahu menulis sahaja selepas terperangkap dalam banjir.

Untuk rekod, jumlah mangsa banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan terus meningkat dengan kira-kira 20,000 mangsa melibatkan lebih 5,000 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Dalam masa sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca buruk di Kelantan dengan hujan lebat dijangka berterusan.

Bagi Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah dan bahagian utara Perak diberi amaran waspada dengan ramalan hujan lebat dijangka berlaku sepanjang hari ini.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/pemuda-pas-sibuk-pacak-bendera-ketika-bah-melanda-negara/

COMMENTS