Akibat enggan membayar selepas membuat tatu di lengannya dan melarikan diri.
Namun, dia berjaya ditangkap oleh pemilik kedai dan rakannya.
Gambar seorang lelaki yang dibalut plastik dan diikat di sebatang pokok di Hanoi kerana didakwa gagal membayar tatu yang dibuatnya tular di media sosial Vietnam.
Lebih malang, kejadian itu berlaku ketika negara tersebut sedang berdepan dengan suhu musim sejuk di bawah 10 darjah Celsius.
Oddity Central melaporkan bahawa ketika kejadian, beberapa individu melihat seorang lelaki muda, tidak berbaju dan hanya memakai topi keledar basikal.
Tubuhnya dibalut dengan plastik dan diikat pada pokok dengan kertas bertulis ‘saya benci membayar tatu.’
Gambar lelaki tersebut disiarkan di media sosial dan menjadi viral.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki yang dikenali sebagai NQT mengaku sebagai artis tatu yang bertanggungjawab atas kejadian itu.
Dalam catatan di media sosial, pemilik kedai tatu menjelaskan bahawa lelaki dalam gambar itu hanya membayar sebahagian daripada kos tatu.
Rakannya berjaya menangkap lelaki tersebut dan membawanya ke kedai untuk memberi pengajaran.
“Pemuda ini membuat tatu di lengannya tetapi melarikan diri dan mengelak daripada membayar hingga hari ini.
“Oleh itu, kami menanggalkan bajunya, membungkusnya dengan plastik dan mengikatnya di pokok sebagai hukuman,” kata pemilik kedai tatu tersebut.
Tidak jelas berapa lama ‘hukuman’ tersebut berlangsung, tetapi pemilik kedai tatu mengakui bahawa dia akhirnya merasa kasihan dan memutuskan untuk membebaskannya.
“Dia tidak mempunyai wang untuk membayar, tetapi saya memaafkannya,” tambahnya.
BACA: Didakwa jadi dalang sindiket pemerdagangan manusia, ini respon bekas Timbalan Menteri