Tubuh Majlis Pembangunan Bakat, Johor negeri pertama tawar gaji premium RM5000

Oleh MUHAMMAD KHAIRY JALALUDDIN

Johor akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang menawarkan gaji premium

Bermula dari RM4,000 hingga RM5,000 kepada pekerja berkemahiran tinggi, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, hasrat ini akan direalisasikan melalui penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang dilancarkan hari ini.

Beliau menyatakan bahawa penubuhan JTDC adalah sangat penting bagi memastikan tenaga kerja berkemahiran tinggi

Dapat disediakan susulan penawaran 100,000 pekerjaan berkemahiran tinggi yang akan diwujudkan di negeri ini.

Tubuh Majlis Pembangunan Bakat, Johor negeri pertama tawar gaji premium RM5000

“Johor adalah negeri pertama yang mewujudkan JTDC bagi membantu anak-anak muda di negeri ini dilatih menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Apa yang dilakukan oleh Johor adalah untuk menetapkan gaji premium bagi pemegang diploma bermula dari RM4,000 manakala gaji premium bagi ijazah sarjana muda bermula dari RM5,000.

“Setakat ini, tiada negeri lain yang melaksanakan gaji premium ini, hanya Johor yang berada di hadapan. Kita melihat bahawa peluang pekerjaan yang ada di Johor menghadapi persaingan dari negara jiran.

“Ini kerana gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan adalah RM1,700 berkuatkuasa Februari depan, tetapi gaji minimum di Singapura pula adalah S$1,500, yang bersamaan dengan RM5,290.

“Oleh itu, penting bagi Johor untuk memperkenalkan gaji premium kepada pekerja berkemahiran tinggi supaya bakat tempatan tidak mengalir keluar,” katanya ketika melancarkan Majlis Pembangunan Bakat Johor dan Karnival Kerjaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, menyatakan bahawa penubuhan JTDC akan bertindak sebagai hab sehenti yang menghubungkan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri, dan pencari kerja.

“JTDC juga akan menjadi pemangkin kepada penyelarasan program latihan agar sesuai dengan keperluan industri, sekali gus memastikan graduan TVET mendapat peluang pekerjaan yang berkualiti dan mempromosikan pembangunan kemahiran berteknologi tinggi,” katanya.

Ahmad Zahid juga menyatakan bahawa sebanyak 100,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi sedang disediakan oleh kerajaan Johor, susulan kewujudan beberapa zon ekonomi termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tidak lama lagi.

Beliau menjelaskan bahawa JS-SEZ pada waktu ini memerlukan seramai 74,000 pekerja berkemahiran tinggi, namun hanya 52,000 permohonan kerja diterima setakat ini.

“Oleh itu, JTDC ini menjadi sokongan utama kepada penghasilan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan pasaran, terutama lepasan TVET.

“Kita mempunyai 1,345 institusi TVET di seluruh negara, dan di Johor sahaja terdapat lebih 220 institusi TVET untuk memenuhi permintaan 100,000 peluang pekerjaan di Johor,” katanya.

Ahmad Zahid juga mengarahkan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM20 juta kepada institusi TVET di negeri ini.

Beliau menekankan bahawa langkah ini adalah untuk memastikan Johor dapat membekalkan keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan, seterusnya memastikan pembangunan ekonomi negeri dan negara terus mampan.

BACA: Selepas 100 cawangan Starbucks ditutup, TGI Fridays pula bankrap