‘Tolong hormati suami saya, Raja saya!’-Tengku Ampuan Pahang

Oleh CHE HUSNA KAMARUZZAMAN

Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menitahkan seorang pengguna media sosial

agar menghormati Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengguna media sosial yang menggunakan akaun ’samdoria’ menulis “Respect lagi Tan Sri Muhyiddin” ketika mengulas komen dalam hantaran Facebook

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail. Hantaran tersebut meluahkan rasa kecewa dan terkilan

Dengan ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin, ketika berkempen sempena pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini.

'Tolong hormati suami saya, Raja saya!'-Tengku Ampuan Pahang

“Tolong respek (hormat) suami saya, raja saya,” balas Tunku Azizah Aminah dalam komen tersebut.

Muhyiddin dikatakan telah menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 semasa ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nenggiri di Felda Perasu pada 15 Ogos lalu.

Dia didakwa menyatakan bahawa dia telah mendapat sokongan daripada 115 ahli Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang sepatutnya membolehkannya diangkat sebagai perdana menteri. Namun, menurut presiden Bersatu itu, dia tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.

Ceramah tersebut didakwa secara sengaja mencetuskan ketegangan dengan menyentuh isu 3R merujuk kepada raja, agama, dan kaum dalam kempen politik.

Susulan itu, Wan Rosdy, semalam, menggesa pihak berkuasa agar segera mengambil tindakan terhadap Muhyiddin yang didakwa biadab terhadap Sultan Pahang.

Naib Presiden Umno itu berkata, tindakan terhadap Muhyiddin adalah penting sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua pihak.