Tolak belanjawan, Najib pengkhianat – Shahidan

Tolak belanjawan, Najib pengkhianat – Shahidan

Bekas presiden Umno Najib Razak akan jadi pengkhianat sekiranya menolak Belanjawan 2021, kata Shahidan Kassim.

“Sesiapa sahaja yang tolak Belanjawan 2021, termasuk kawan saya Najib, ialah pengkhianat kepada rakyat,” kata ahli Parlimen Arau ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) juga berkata, adalah tidak benar bahawa ahli Parlimen Barisan Nasional tidak akan menyokong belanjawan pada undian 26 November ini.

“Terdapat perbuatan yang luar biasa yang sedang berlaku sekarang iaitu menuduh mungkin ada seorang atau dua di pihak PN (Perikatan Nasional) yang tidak menyokong Belanjawan 2021 dan menyebabkan kerajaan jatuh.

“Ini adalah syak wasangka yang mengaitkan dengan ahli politik veteran seperti Najib Razak (Pekan-BN), Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk-BN) dan Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang-BN). Jadi, jangan menuduh mereka niat jahat.

“Apabila mereka masuk BN, maka mereka adalah BN. Dan bila BN bersama Perikatan, mereka adalah Perikatan,” kata Shahidan.

Shahidan menamakan ahli Parlimen berkenaan yang sebelum ini lantang mengkritik Belanjawan 2021 ketika perbahasan mereka.

Najib ketika berucap menyatakan BN hanya menyokong belanjawan sekiranya kerajaan bersetuju untuk melanjutkan moratorium pinjaman dan membenarkan pengeluaran KWSP RM10,000 secara one-off.

Shahidan turut mengambil peluang menyuarakan sokongannya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selepas Zahid menggesa kerajaan membenarkan usul undi tidak percaya terhadap ahli Parlimen Pagoh itu.

“Pada saya, saya ingin nyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Muhyiddin dan menyokong belanjawan.” – 19 November, 2020.

Berita penuh : https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/285597

COMMENTS