Tokoh korporat berminat jadi Presiden FAM, akan laksana 5 manifesto sekiranya dipilih

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini menjadi perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan,

Terutamanya selepas Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan kongres bagi penggal 2025-2029 yang bakal diadakan pada 15 Februari.

Antara nama yang mencuri tumpuan ialah Sayf Ismail, seorang tokoh korporat yang pernah berkhidmat dalam FAM.

Beliau secara terbuka menyuarakan hasrat untuk memimpin badan bola sepak negara itu.

Menerusi satu hantaran di laman media sosial X, Sayf menggariskan beberapa cadangan yang beliau harap dapat dilaksanakan sekiranya dipilih sebagai pengganti Tan Sri Hamidin. Berikut adalah beberapa poin utama dalam manifestonya:

Tokoh korporat berminat jadi Presiden FAM, akan laksana 5 manifesto sekiranya dipilih

Transparensi dan Integriti: Sayf berpendapat bahawa FAM perlu beroperasi dengan lebih telus dan diwakili oleh individu yang jujur, baik di peringkat EXCO mahupun sekretariat.

Struktur Bola Sepak yang Lebih Jelas: Sebagai badan induk bola sepak negara, Sayf mencadangkan agar FAM merancang semula piramid bola sepak Malaysia untuk memberikan gambaran yang lebih jelas kepada bakat muda yang berhasrat serius dalam industri ini.

Meningkatkan Saingan Liga: Sayf menyatakan pentingnya FAM menjadi lebih proaktif dalam memastikan liga bola sepak tempatan berjalan lancar dan mengatasi isu-isu seperti tunggakan gaji pemain serta pegawai pasukan.

Menyokong Skuad Kebangsaan: Dalam usaha merevolusi skuad kebangsaan, beliau menekankan pentingnya memberi sokongan penuh kepada projek pembangunan pasukan ini serta mengetengahkan bakat tempatan bersama pemain warisan dan naturalisasi.

Memenangi Sokongan Semua Pihak: Sayf juga menegaskan bahawa FAM perlu mengembalikan keyakinan dan sokongan dari semua pemegang taruh dalam bola sepak tanah air, termasuk penyokong, sektor swasta dan kerajaan.

Sehingga kini, Sayf adalah satu-satunya calon yang telah mengeluarkan manifesto. Calon-calon lain yang disebut-sebut sebagai pengganti Tan Sri Hamidin masih belum mengumumkan rancangan mereka untuk masa depan bola sepak Malaysia.

BACA: Ketua Dewan Ulamak Pas Selangor mohon maaf, sengaja fitnah PMX