Tokoh ASWAJA kalah saman dengan bekas ratu cantik negara, ini kisahnya

Oleh BURHANUDDIN ABD RAZAK

Pelakon dan bekas ratu cantik negara, Nor Shakila Saiful, meluahkan rasa syukur

Apabila mahkamah memihak kepadanya dalam kes saman yang dikemukakan seorang tokoh ASWAJA.

Menurut Shakila, yang juga dikenali sebagai Nor Shakila Mohammad Saiful Islam, 28,

Dia bersyukur kerana penderitaan yang ditanggungnya selama ini akhirnya terbalas dan keadilan dapat ditegakkan.

“Saya masih ingat betapa sakit yang saya hadapi apabila orang ini masuk ke dalam hidup saya. Hanya Allah yang tahu betapa menderitanya saya di tangan mereka.

Tokoh ASWAJA kalah saman dengan bekas ratu cantik negara, ini kisahnya

“Alhamdulillah, keadilan telah ditegakkan. Tidak kira seberapa besar atau berkuasa anda fikirkan diri anda, ingatlah, Allah lebih besar daripada anda. Apa sahaja yang diberikan kepada anda hari ini, Dia boleh mengambil semuanya kembali esok.

“Jangan sombong dan memandang rendah orang lain, kerana anda tidak pernah tahu di mana anda akan berada esok,” tulisnya di platform Threads.

Sebelum ini, Engku Fadzil memulakan saman terhadap Shakila di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas kes fitnah. Engku Fadzil mendakwa Shakila telah memfitnahnya di media sosial berkenaan pengguguran kandungannya, serta menuduh Shakila mempunyai niat jahat untuk merosakkan reputasinya.

Mahkamah mendapati Engku Fadzil gagal membuktikan kesnya dan perlu membayar kos sebanyak RM25,000 kepada Shakila.

Kes kedua yang melibatkan Shakila adalah saman balas berkaitan penipuan atau salahnyataan. Shakila mendakwa Engku Fadzil dan Engku Fakhruddin (bekas suami) telah membuat representasi salah dan/atau penipuan dengan meyakinkannya untuk menggugurkan kandungan, mendakwa bahawa fatwa di negeri Perlis dan Pahang membenarkan tindakan tersebut.

Mahkamah mendapati Shakila berjaya membuktikan kesnya terhadap Engku Fadzil dan Engku Fakhruddin, yang kini perlu membayar ganti rugi sebanyak RM80,000 kepada Shakila.

Tahun lalu, Shakila pernah membuat pendedahan bahawa dirinya ditipu dalam perkahwinannya selepas mengaku pernah menggugurkan janin kembarnya yang berusia sebulan hasil hubungan luar nikah.

Menurut Shakila, dia melakukan perbuatan itu selepas dipujuk oleh keluarga suaminya dengan alasan bahawa fatwa di dua negeri tersebut menghalalkannya.

Dia dan suaminya berkahwin pada 22 Mei 2022, sebagai janji untuk menggugurkan janin itu.

Mengulas lanjut, Shakila menceritakan bahawa selepas enam bulan berkahwin, dia mengalami keguguran. Doktor yang merawatnya mengesahkan bahawa dia mengalami ‘chemical pregnancy’ akibat daripada pembuangan kandungan yang telah dilakukan sebelumnya.

Namun, lapan hari selepas keguguran, suaminya memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah dengan alasan yang tidak munasabah.

Akibat tindakan suaminya itu, Shakila mengalami depresi yang teruk dan pernah mencuba untuk membunuh diri.

Di dalam keterangannya di mahkamah, Shakila menyatakan bahawa cerita yang dikongsi di media sosial adalah berdasarkan pengalaman sebenar yang dilaluinya, dan bukan fitnah terhadap Engku Fadzil atau Engku Fakhruddin.

BACA: Selain usang, ini 2 faktor punca KD Pendekar karam dedah Lembaga Siasatan TLDM