TNB dakwa pengguna salah faham punca bil tinggi

TNB dakwa pengguna salah faham punca bil tinggi

Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah mengadakan pertemuan dengan seorang pengguna mendakwa menerima pelarasan bil dengan kenaikan 600 peratus sehingga tular dalam media sosial, semalam.

Ketua Pegawai Korporatnya, Datuk Wira Roslan Ab Rahman, berkata pada perjumpaan itu, pegawai TNB memberikan penjelasan mengenai isu berkenaan kepada individu terbabit.

“TNB memahami perasaan pengguna itu yang terkejut menerima pelarasan bil dengan jumlah lebih daripada kebiasaan.

“Kami sudah menyemak bil beliau dan mendapati ada salah faham mengenai pengiraan bilnya.

“Amaun bil beliau bagi April, Mei dan Jun meningkat 120 peratus sahaja setiap bulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Roslan berkata, pada pertemuan itu, individu terbabit juga menerima penjelasan diberikan oleh pegawai TNB bahawa cara perkiraan melalui kaedah prorata memastikan pengguna tidak terbeban dengan jumlah bil yang tinggi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelanggan yang terkesan dengan pelarasan bil elektrik ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), disaran menghubungi TNB bagi mendapatkan penjelasan.

Sebagai syarikat dikawal selia Suruhanjaya Tenaga (ST), katanya, TNB tertakluk kepada syarat lesen yang diberikan, termasuk tidak menggunakan kaedah pengiraan bil dengan sewenang-wenangnya.

“Kaedah ini mendapat kelulusan ST dan ia memastikan pengguna tidak terbeban dengan jumlah bil yang melampau,” katanya.

Justeru, beliau meminta pengguna supaya menggunakan saluran sesuai untuk mendapatkan maklumat tepat berhubung sebarang permasalahan dihadapi berkaitan pengiraan bil elektrik.

“Pegawai khidmat pelanggan kami sentiasa bersedia memberikan penjelasan. Hubungi kami di TNB Careline menerusi talian 1300 88 5454 atau Facebook TNB Careline, selain boleh mengunjungi Kedai Tenaga berhampiran,” katanya.

Berita penuh: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/06/699261/salah-faham-pengiraan-bil-didakwa-naik-600-peratus-tnb

COMMENTS