Titah Agong agar dilaksanakan usul undi percaya adalah baik untuk negara

Titah Agong agar dilaksanakan usul undi percaya adalah baik untuk negara.Undi percaya terhadap perdana menteri yang baharu dilantik adalah satu budaya baharu dan amalan baik yang cuba ditanamkan oleh Yang Dipertuan Agong, kata peguam yang juga ahli Parlimen, Mohamed Hanipa Maidin.

Oleh itu, katanya, pandangan Peguam Negara bahawa perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub tidak perlu membuat undi percaya adalah satu ‘kecelaruan pemikiran’.

Bekas timbalan menteri hal ehwal undang-undang itu berkata, apa yang cuba dilaksanakan oleh Yang Dipertuan Agong ketika menintahkan agar satu usul undi percaya dibuat di Dewan Rakyat selepas perdana menteri baharu dilantik adalah untuk keadilan dan satu amalan baik.

“Yang Dipertuan Agong ketika memberikan titah ini, pada pandangan saya adalah untuk membentuk satu budaya baharu dalam perlantikan perdana menteri.

“Kita boleh katakan ia sebagai ‘amalan baik’ walaupun Perlembagaan Malaysia tidak menyentuh perkara ini,” kata Hanipa ketika mengulas pandangan Peguam Negara bahawa undi percaya terhadap perdana menteri tidak diperlukan bahkan ia menguji dan melanggar kehendak Yang Dipertuan Agong yang telah melantik PM.

Agong

Bagi Hanipa, dengan membuat undi percaya di Parlimen bermakna, Yang Dipertuan Agong telah mencipta satu harapan yang sah (legitimate expectations) di kalangan semua ahli Parlimen bahawa pelantikan PM akan diuji melalui undi percaya di Parlimen.

“Tidak perlu dinyatakan lagi bahawa mencipta satu harapan yang sah adalah satu keadilan,” kata Hanipa dalam hujjah beliau.

Peguam Negara Datuk Idrus Harun berkata, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri atau kerajaan pimpinannya dengan undi percaya di Parlimen kerana ia ditubuhkan mengikut lunas undang-undang.

Idrus menambah sekiranya masih memerlukan keabsahan, ini bermakna kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara itu boleh diatasi pihak lain.

“Langkah sedemikian adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Agong seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataannya semalam.

Berita Penuh : https://malaysiadateline.com/undi-percaya-satu-amalan-baik-budaya-baharu-yang-cuba-ditanam-agong-kata-peguam/

BACA: Orang ramai digesa bantu pusat tahfiz yang makin tenat

CATEGORIES