Tidak mahu panjangkan kes, keluarga Muhammad Adib tarik balik rayuan

Oleh INFORAKYAT

Tidak mahu panjangkan kes, keluarga Muhammad Adib tarik balik rayuan. Keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menarik balik rayuan berhubung permohonan mengkomitkan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas atas tuduhan menghina mahkamah.

Firma guaman, Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates yang mewakili keluarga Muhammad Adib berkata, arahan itu dibuat oleh keluarga Muhammad Adib kerana tidak lagi mahu memanjangkan perkara tersebut.

“Susulan daripada arahan keluarga Muhammad Adib agar rayuan bapanya, Mohd Kassim Abdul Hamid ditarik balik, peguam telah memfailkan Notis Menarik Balik Rayuan pada 31 Mei lalu, diikuti Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili Tommy Thomas memfailkan penarikan rayuan pada Selasa,”

Menurutnya, pihak keluarga Muhammad Adib menganggap bahawa proses dan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Tommy Thomas dan AGC selesai dan tamat di sini.

“Mereka turut berharap agar masyarakat dapat membenarkan ahli keluarga arwah untuk meneruskan kehidupan dengan memandang ke hadapan serta memulakan kehidupan baharu,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Tidak mahu panjangkan kes, keluarga Muhammad Adib tarik balik rayuan

Jelas firma itu, terdapat tiga rayuan sedang berlangsung di Mahkamah Rayuan.

“Pertama, rayuan oleh AGC bagi menegaskan bahawa hakim koroner tiada bidang kuasa untuk mendengar dan menghukum seseorang, termasuk Tommy Thomas atas kesalahan menghina mahkamah,” katanya.

Manakala dua lagi ujarnya, rayuan Mohd Kassim, 66, bagi mencabar keputusan mahkamah tinggi yang memutuskan bahawa Tommy Thomas mempunyai hak merayu dan rayuannya diterima.

Kata firma itu, rayuan AGC tersebut telah sebelum ini didengar oleh Panel Mahkamah Rayuan yang kemudiannya pada 8 Februari 2022 memutuskan menolak rayuan tersebut.

Ia sekali gus mengesahkan bahawa hakim koroner sememangnya mempunyai bidang kuasa untuk mendengar prosiding komital serta menghukum seseorang atas kesalahan menghina mahkamah.

Susulan keputusan tersebut, AGC telah seterusnya memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan, iaitu tingkat tertinggi kehakiman di negara ini.

“Dua lagi rayuan oleh bapa Muhammad Adib telah digantung pendengarannya, sementara menantikan proses rayuan ke Mahkamah Persekutuan oleh AGC tersebut,” katanya.

Meskipun keluarga mengambil langkah untuk tidak meneruskan rayuan tersebut, pasukan peguam itu menegaskan keputusan penyelesaian di peringkat rayuan penghinaan mahkamah tidak sama sekali mengusik atau mengubah keputusan dan dapatan oleh Mahkamah Koroner pada 27 September 2019, yang mengesahkan bahawa Muhammad Adib mati dipukul walaupun pembunuhnya tidak dapat ditemui hingga ke hari ini dan bahawa kematian arwah turut disumbangkan oleh kegagalan pasukan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal rusuhan.

“Alasan penghakiman setebal 52 halaman oleh Hakim Koroner Rofiah Mohammad itu tidak pernah diakas oleh mana-mana nahkamah yang lebih tinggi dan dengan yang demikian itu ia kekal sebagai dapatan fakta yang autoritatif,” katanya.

Tegasnya lagi, pendirian keluarga arwah untuk menarik balik rayuan komital ini juga tidak bererti bahawa usaha mencari pembunuh Muhammad Adib tidak boleh diteruskan oleh polis kerana siasatan jenayah tiada had masa di sisi undang-undang.

“Perjuangan menuntut keadilan untuk seorang anggota kerajaan yang mati dibunuh ketika dalam bertugas menjaga keamanan juga boleh diteruskan oleh mana-mana masyarakat sivil, orang awam serta badan-badan bukan kerajaan yang prihatin,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

BACA:

Tindakan pengantin lelaki tampar isteri atas pelamin curi tumpuan

Syed Saddiq tak puas hati ada yang salahkan dirinya padang macam bendang

Aafiyah dah mula masuk sekolah, Siti Nurhaliza luah perasaan sebak