‘Tiba-tiba ubah haluan dari Bangkok ke Myanmar’ Wanita nyaris jadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Gara-gara terpengaruh dengan tawaran gaji lumayan sebanyak RM2,000 untuk empat hari,

seorang wanita nyaris menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia apabila dibawa masuk ke Myanmar.

Menceritakan kembali kejadian itu, wanita berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Huda, 41, dari Selangor, berkata

segalanya bermula pada awal Oktober apabila dihubungi oleh sepasang suami isteri

Menerusi WhatsApp yang menyatakan mereka memerlukan perkhidmatannya sebagai pengasuh semasa bercuti.

'Tiba-tiba ubah haluan dari Bangkok ke Myanmar' Wanita nyaris jadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia

“Mereka mendakwa bekerja sebagai diplomat di sebuah kedutaan asing di Bangkok dan mengetahui tentang perkhidmatan saya selepas melihat iklan yang saya muat naik di Facebook.

Pasangan suami isteri ini kemudian membuat panggilan video untuk bertanya mengenai perkhidmatan itu.

@media.telus Pendedahan seorang wanita yang ikhlas mencari rezeki tetapi hampir masuk ke dalam jerat sindiket. Agak panjang, tapi wajar untuk kita semua ambil pengajaran. #wanita #jual #myanmar #malaysia #cerita #cemas #trending #fyp #bangkok #beritatiktok #mho #kerja #work ♬ original sound – Media Telus

“Mereka menawarkan gaji yang lumayan untuk perkhidmatan selama empat hari dan memaklumkan akan menanggung tiket penerbangan ke Bangkok. Seorang pemandu juga akan menunggu saya di lapangan terbang di sana untuk membawa saya bertemu mereka,” katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di Kuala Lumpur hari ini, yang turut dihadiri Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim.

Percaya dengan tawaran itu, dia berlepas ke Bangkok pada 13 Oktober lepas dengan tiket yang diberikan. Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, seorang lelaki berpakaian seragam pihak berkuasa di negara itu telah sedia menanti untuk membawanya ke sebuah syarikat pelancongan.

Bagaimanapun, dia mulai curiga apabila tidak diberikan masa untuk menukar wang serta kad sim telefon bimbitnya dan diminta untuk mengikut sahaja arahan lelaki yang bertindak sebagai pemandu itu.

“Malah, ketika dalam perjalanan, berpandukan aplikasi Google Map, saya dapati pemandu itu telah mengubah haluan dengan memandu kenderaan menghala ke Mae Sot, Tak, Thailand, yang merupakan sempadan Myanmar, kira-kira enam jam perjalanan dari Bangkok.

“Sampai di pos kawalan, saya diarahkan untuk menyerahkan pasport untuk dicap, namun saya enggan kerana merasa tertipu dan nekad memaklumkan hal itu kepada anggota polis yang melakukan kawalan di situ,” katanya yang masih gementar apabila teringat peristiwa itu.

Apabila disoal siasat, pemandu itu menafikan terlibat dalam perkara terbabit dan lelaki itu kemudian dilepaskan tanpa sebarang tindakan, manakala Huda dibantu dengan diberikan tiket bas untuk kembali ke Bangkok sebelum menaiki kereta api untuk pulang ke Malaysia melalui Padang Besar dan selamat tiba di Kuala Lumpur pada 15 Oktober lepas.

Sementara itu, Hishamuddin meminta rakyat di negara ini supaya tidak mudah terpedaya dengan pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan di negara jiran kerana sindiket pemerdagangan manusia kini semakin licik menggunakan pelbagai helah untuk menjerat mangsa.

BACA: Dalang skandal tenaga kerja warga asing, bekas menteri ditahan