Tiada sidang Parlimen : Adakah Setiausaha dan Speaker Dewan Rakyat terkhilaf?

Tiada sidang Parlimen : Adakah Setiausaha dan Speaker Dewan Rakyat terkhilaf?

Respon Terhadap Surat Pejabat SUDR dan Kenyataan Media Speaker Dewan Rakyat•

Merujuk pada surat Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat dan Kenyataan Media Speaker Dewan Rakyat yang menyatakan hanya Titah Diraja akan dibenarkan dalam persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei 2020 akan datang.

Sefaham saya melalui pengalaman di Parlimen dan pandangan-pandangan pakar perundangan lain ada beberapa persoalan:

Peraturan 11(2) hanya memberikan kuasa kepada Ketua Majlis dan Timbalannya untuk mengubah tarikh-tarikh persidangan Dewan Rakyat yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa BUKANNYA untuk mengubah Aturan Urusan Mesyuarat yang telah ditetapkan susunan agendanya dalam Peraturan 14 (1).

Peraturan 15(2) pula hanya memberikan kuasa kepada pihak Kerajaan untuk menentukan aturan urusan Kerajaan bukan aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat. Sekali lagi diulangi bahawa Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat telah ditetapkan susunan agendanya dalam Peraturan 14 (1). Urusan kerajaan hanyalah sebahagian daripada agenda dalam Aturan Urusan Mesyuarat. Peraturan 15(2) boleh digunakan oleh pihak kerajaan misalnya dalam menentukan aturan dalam senarai Rang Undang yang ingin dikemukakan atau dibahaskan.

Jadi, adakah Setiausaha Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Rakyat terkhilaf dalam menetapkan aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat hanya dengan Titah Diraja mengambil kira usul ahli parlimen Langkawi telah diterima untuk dibawa dalam mesyuarat pada 18hb Mei ini? Menidakkan hak ahli parlimen Langkawi dengan menggunakan 2 peraturan mesyuarat tersebut adalah satu kesilapan.

Satu pengumuman baharu oleh pihak Speaker Dewan Rakyat mesti dibuat untuk membetulkan hal ini bagi menjaga integriti dan kemuliaan institusi Parlimen Malaysia.

Abu Hafiz Salleh Hudin
Kuala Lumpur

Sumber:

COMMENTS