Tiada keperluan calon perlu lulus pemeriksaan kesihatan – SPR

Tiada keperluan untuk menetapkan syarat calon pilihan raya perlu lulus pemeriksaan kesihatan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun.

Walaupun enam pilihan raya kecil (PRK) diadakan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) antaranya berikutan faktor kematian, beliau berkata langkah sedemikian tidak perlu dibuat memandangkan ia turut memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Kematian tidak boleh dijangka, seseorang yang sihat pun boleh meninggal dunia,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada SPR perlu menetapkan syarat calon pilihan raya perlu lulus pemeriksaan kesihatan berikutan terlalu banyak PRK diadakan dalam tempoh tidak sampai setahun selepas PRU14 pada Mei 2018.

PRK DUN Semenyih adalah PRK keenam diadakan selepas PRU14 dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan).

Mengulas mengenai isu jawatan Timbalan Pengerusi SPR dan lima anggota SPR yang masih kosong, Azhar berkata perkara itu tidak memberi apa-apa kesan kepada SPR berdasarkan peruntukan yang termaktub dalam Jadual Ke-11, Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata menurut peruntukan itu, apa-apa badan atau suruhanjaya yang ditubuhkan di bawah undang-undang adalah tidak terkesan daripada apa-apa kekosongan yang berlaku dalam organisasi terbabit.

“Kita mengambil keputusan untuk ikut peruntukan tersebut, selain terdapat juga keputusan Mahkamah Rayuan pada tahun lepas yang juga memutuskan bahawa SPR tidak terkesan dengan apa-apa kekosongan keahlian,” jelasnya.

Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan kesemua jawatan tersebut masih kosong kerana pelantikan belum lagi dibuat sehingga kini dan Azhar adalah satu-satunya yang menganggotai senarai anggota SPR.

Sebelum ini, bekas Timbalan Pengerusi SPR Tan Sri Othman Mahmood bersama lima anggota SPR iaitu Datuk Md Yusop Mansur, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi, Datuk Leo Chong Cheong dan Datuk Bala Singam Karupiah memutuskan untuk memendekkan tempoh perkhidmatan masing-masing berkuat kuasa 1 Jan lepas.

Mengikut Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan, keanggotaan SPR hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima anggota lain.

Sementara itu ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan perjalanan PRK sejak beliau dilantik sebagai Pengerusi SPR pada 1 Julai 2018, Azhar berkata beliau melihat kesedaran mengenai peraturan pilihan raya semakin meningkat dalam kalangan parti politik dan masyarakat.

Merujuk kepada isu pemberian wang pada PRK Parlimen Cameron Highlands melibatkan sebuah parti politik, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak yang prihatin terhadap isu itu dan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ini merupakan kemajuan dalam proses pilihan raya dan saya harap perkara ini akan diteruskan sebegitu untuk menjamin proses pilihan raya yang adil dan saksama pada masa akan datang,” kata Azhar.