Tiada keperluan bagi guru untuk jalani saringan Covid-19 – Menteri

Tiada keperluan bagi guru untuk jalani saringan Covid-19 – Menteri

Guru yang akan mula bertugas di sekolah pada sesi persekolahan 20 Jan ini tidak perlu menjalani ujian saringan Covid-19, namun perlu mematuhi SOP ketat bagi mengekang penularan pandemik itu.

Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin yakin pematuhan SOP ketat oleh semua pihak mampu mengurangkan risiko penularan Covid-19 serta memastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) diadakan dalam keadaan selamat.

“Kapasiti sistem kesihatan sedia ada yang tidak mencukupi dan terhad juga tidak membolehkan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 dalam kalangan guru, justeru pematuhan SOP ketat amat penting,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata, guru yang mempunyai masalah kesihatan dan berisiko tinggi boleh berbincang dengan pihak pengurusan sekolah bagi membolehkan mereka mengajar dalam talian.

“Mereka perlu sertakan surat khas daripada doktor bagi menerangkan masalah kesihatan yang dihadapi untuk diteliti dan dipertimbangkan pihak pengurusan sekolah masing-masing.”

Radzi berkata, bagi memastikan pelajar yang tidak mempunyai peranti serta akses internet dapat mengikuti pembelajaran dalam talian, kementerian turut melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Kita sedar kekangan yang dihadapi pelajar, justeru ada kaedah lain yang digunakan guru, iaitu menyediakan bahan pendidikan untuk murid melaksanakan pembelajaran di rumah, selain melalui TV Pendidikan.

“Kita akan perkasakan lagi kaedah ini supaya murid yang tidak mempunyai akses internet serta peranti tidak ketinggalan dalam pembelajaran ketika ini.”

Mengulas murid Tahun 1 di kawasan PKP yang akan menjalani PdP di rumah mulai 20 Jan ini, beliau berkata, kementeriannya mempunyai senarai murid yang akan ditempatkan di kelas tertentu.

“Guru akan berhubung dengan ibu bapa bagi memastikan PdPR dapat dilaksanakan dengan baik.”

Radzi turut menjelaskan jumlah pelajar yang dibenarkan dalam sebuah kelas berdasarkan penjarakan fizikal yang dapat dilakukan secara maksimum.

“Selagi kita dapat amal penjarakan fizikal seperti ditetapkan di dalam kelas itu, maka apa saja kapasiti maksimum pelajar berdasarkan penjarakan fizikal itu.

“Kita tak tetapkan berapa jumlah pelajar dalam sesebuah kelas. Dalam SOP sebelum ini pun, ia berdasarkan penjarakan fizikal.”

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/12/guru-tak-perlu-disaring-covid-19-kata-menteri/

COMMENTS