TH Plantation terpaksa jual aset rugi yang dibeli zaman BN pada harga murah

TH Plantation terpaksa jual aset rugi yang dibeli zaman BN pada harga murah

Syarikat-syarikat milik Tabung Haji Plantations Bhd. (THP) terpaksa dijual lebih murah daripada harga belian berikutan nilai sebenarnya jauh lebih rendah serta ketiadaan pembeli yang berminat terhadap aset berkenaan.

THP yang juga anak syarikat Lembaga Tabung Haji melupuskan Bumi Suria Ventures Sdn. Bhd. (BSV) dan Maju Warisan Sdn. Bhd. di bawah harga pasaran bagi mengurangkan hutang THP dan membayar pelbagai keperluan mendesak.

Dua syarikat perladangan kelapa sawit yang beroperasi di Bintulu Sarawak itu dijual kepada Tamaco Plantation Sdn. Bhd. Mengikut laporan tahunan THP, keputusan menjual aset dibuat berikutan syarikat-syarikatnya tidak mampu memberi keuntungan sejak 2018 dan mengatasi masalah kewangan yang dihadapi THP sejak 2015.

THP mula melakukan perluasan operasi secara agresif bermula 2012 dan membeli banyak kawasan ladang baru. THP mengenal pasti 10 syarikat bermasalah untuk dijual dan melantik satu perunding bebas untuk menguruskan penjualan aset tersebut pada awal 2019.

Menurut sumber -sumber industri empat bank pelaburan dipanggil bagi menguruskan penjualan 10 syarikat THP termasuk BSV dan Maju Warisan. RHB Investment Bank dilantik pada pada April 2019.

Sumber berkenaan berkata penilaian terhadap BSV menunjukkan daripada lebih 6,000 hektar tanah milik syarikat itu hanya kira-kira 4,200 hektar boleh ditanam dan penilaian BSV ditetapkan pada RM183.9 juta sahaja.

BSV dibeli pada harga RM360 juta pada 2012 mengikut laporan tahunan syarikat itu. Ia dikatakan mempunyai kawasan yang boleh ditanam sebanyak 5,700 hektar dengan unjuran hasil sebanyak 25 tan setiap hektar. Pengeluaran sawit sebenar yang diperolehi jauh lebih rendah daripada unjuran itu.

Salah satu sumber industri mendedahkan pembelian dan penilaian BSV diuruskan penilai yang sama, sekali gus mempertikai tadbir urus korporat dan penilaian yang dibuat.
Malah satu sumber berkenaan berkata lebih 60 pembeli berpotensi diajak terbabit dalam tender bagi pembelian syarikat THP yang bermasalah itu.

“Malangnya apabila tender ditutup Julai tahun lalu, minat yang diterima daripada pembeli sangat menghampakan,” kata sumber yang tidak mahu namanya disiarkan.
Kata sumber itu lagi akhirnya, THP menerima dua tawaran, satu daripada syarikat yang mahu kesemua 10 syarikat tetapi pada harga sangat rendah dan kedua daripada Tamaco yang hanya berminat untuk membeli BSV pada harga RM165 juta, rendah daripada penilaian RM183.9 juta sebelum ini,” katanya.

Pihak THP yang dihubungi Utusan Malaysia tidak memberi sebarang komen berhubung perkara di atas.

Berita penuh : https://www.utusan.com.my/premium/2020/08/thp-terpaksa-jual-aset-pada-harga-murah/

COMMENTS