Berikutan penularan gambar kecederaan mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, polis kini sedang menjalankan siasatan terhadap kejadian tersebut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan bahawa siasatan ini dilakukan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan berkenaan pendedahan maklumat,
serta mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.
Beliau menasihati orang ramai untuk tidak berkongsi sebarang kandungan yang boleh diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi.
“Perbuatan sedemikian bukan sahaja mengganggu siasatan tetapi juga proses pendakwaan di mahkamah.
“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa yang didapati berkongsi kandungan sedemikian,” katanya menurut laporan Sinar Harian pada hari Ahad.
Sebelum ini, terdapat penyebaran gambar keadaan mayat yang didakwa Zayn Rayyan di aplikasi Telegram pada malam Sabtu,
yang menunjukkan mangsa selepas ditemui di anak sungai berhampiran apartmen tempat tinggalnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Selangor.
Sebagai rekod, ibu bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, sedang menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas kesalahan mengabaikan kanak-kanak tersebut yang menyebabkan kecederaan fizikal, pada bulan Disember tahun lalu.
Kanak-kanak itu ditemui meninggal dunia pada 6 Disember dengan kesan kecederaan pada leher dan badannya selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya di Damansara Damai.
BACA: Tak sangka! Sebelum ada ‘highway’ baru, rupanya ini ‘highway’ lama sebelum zaman hang tuah