Terkini!! GISBH difatwakan haram di Selangor

Oleh DAHLIA MARZUKI

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengesahkan bahawa satu fatwa telah diwartakan berkenaan penyelewengan

fahaman, ajaran, pegangan, dan amalan Global Ikhwan Services And Business Holdings Sdn. Bhd (GISBH).

Pengerusinya, Abdul Aziz Mohd Yusof, menyatakan bahawa fatwa tersebut telah diperkenankan oleh Sultan Selangor dan disiarkan dalam warta kerajaan negeri pada 16 Oktober.

“Merujuk kepada fatwa yang telah diwartakan ini, fahaman, ajaran, pegangan, atau amalan pemimpin, pengikut, pekerja, atau ahli GISBH

serta rangkaiannya mengandungi elemen-elemen yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah dan syariat.

Terkini!! GISBH difatwakan haram di Selangor

“Berdasarkan fatwa tersebut, mana-mana orang Islam di Negeri Selangor adalah dilarang dan diharamkan untuk mengamalkan, berpegang, menjadi pengikut, mengajar, menyebarkan, mengembangkan, dan menyokong fahaman,

ajaran, pegangan, atau amalan GISBH dan rangkaiannya, termasuk sebarang fahaman, ajaran, pegangan, atau amalan lain yang mempunyai persamaan dengan amalan GISBH yang diharamkan ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Abdul Aziz menambah, selaras dengan fatwa tersebut, mana-mana orang Islam yang terlibat, mengamalkan, atau berpegang kepada fahaman, ajaran, pegangan, atau amalan yang telah diharamkan ini hendaklah segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT.

Beliau menjelaskan bahawa pihak berkuasa yang berkaitan bertanggungjawab untuk melaksanakan pemulihan kepada mereka.

“Masyarakat Islam di Negeri Selangor dinasihatkan untuk menghormati dan tidak melakukan tindakan yang bercanggah dengan fatwa yang telah diwartakan.

“Mana-mana individu yang bertindak mengingkari, melanggar, atau mempertikaikan fatwa yang telah diwartakan adalah melakukan kesalahan di bawah perenggan 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Bagi melaksanakan tanggungjawab pemulihan sebagaimana yang dinyatakan dalam fatwa yang telah diwartakan, Mais bersama agensi kerajaan negeri termasuk semua agensi hal ehwal Islam Selangor sedang merangka dan menggerakkan pelan tindakan pemulihan bagi pengikut GISBH, termasuk kanak-kanak dan dewasa.

“Pemulihan yang akan dilaksanakan merangkumi perlindungan, bimbingan, pemulihan akidah melalui proses istitabah dan kaunseling.

Mais juga menyatakan sokongan yang padu terhadap program rehabilitasi secara sukarela yang ditawarkan oleh kerajaan Malaysia kepada pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya baru-baru ini,” tambahnya.

BACA: Cuma beri idea cara bernas urus sisa manusia, agensi ini tawar ganjaran RM13 juta!