Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, dilantik sebagai Ketua Pengarah jabatan itu berkuat kuasa hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata pelantikan Sirajuddin adalah satu usaha
untuk memperkasa penyampaian perkhidmatan hal ehwal Islam selaras dengan agenda reformasi perkhidmatan awam.
Katanya, pelantikan ini juga mampu memperkukuh Jakim sebagai jabatan peneraju hal ehwal Islam di Malaysia.
“Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda (Syariah & Undang-Undang) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Ijazah Sarjana Sains Teknologi Maklumat dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), dan Ijazah Doktor Falsafah (Sains Komputer) dari University of South Australia (UniSA).
“Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Jakim, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jakim, dan Setiausaha Pertama (Halal) di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Australia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju melantik Hakimah Mohd. Yusoff sebagai Penyelaras Hal Ehwal Halal, yang melibatkan koordinasi antara Jakim, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), dan Halal Development Corporation (HDC), berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan ini adalah untuk memacu pengurusan hal ehwal halal Malaysia yang cekap dan berkesan serta diiktiraf di seluruh dunia.
“Semoga pelantikan ini dapat memacu Jakim ke arah mengangkat kemuliaan agama Islam dan memartabatkan Jakim sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan yang kompetitif serta berdaya saing di persada global,” ujarnya.
BACA: Gara-gara air pasang besar, Tesla terendam air masin terbakar tak sampai seminit