Terkini : Dai Syed dibebaskan dari dakwaan cabul pelajar kolej swasta

Terkini : Dai Syed dibebaskan dari dakwaan cabul pelajar kolej swasta. Mahkamah Sesyen hari ini, melepas dan membebaskan pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atau lebih dikenali Da’i Syed atas dua pertuduhan mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang penuntut kolej swasta.

Hakim Jamaludin Mat menetapkan perkara itu selepas bersetuju hujahan peguam tertuduh, Syed Amirul Syed Edros, supaya tertuduh dilepas dan dibebaskan mengikut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah bagi kedua-dua kes itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon mahkamah melepas tanpa membebaskan tertuduh mengikut Seksyen 254(2) Kanun Tatacara Jenayah.

“Selepas meneliti keseluruhan kes, pihak pendakwaan memohon kes ini diperintah untuk DNAA (dilepas tanpa dibebaskan).

“Ia memandangkan pengadu kes ini (penuntut kolej itu) mengalami kemurungan serius ketika ini atas kejadian menimpanya hingga beberapa kali mencederakan diri, selain mempunyai keinginan untuk mati,” katanya.

Terkini : Dai Syed dibebaskan dari dakwaan cabul pelajar kolej swasta

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon mahkamah melepas dan membebaskan anak guamnya kerana berpendapat pihak pendakwaan tidak berminat meneruskan kes itu selepas mencadangkan DNAA ke atas tertuduh.

“DNAA kerana pengadu murung dan dalam keadaan tidak baik ketika ini untuk memberi keterangan adalah alasan goyah. Apa jaminan perkara itu tidak akan berlaku lagi selepas ini yang dilihat akan menyusahkan sistem kehakiman.

“Pengadu juga sudah menarik balik laporan polis pada Disember tahun lalu secara sukarela tanpa paksaan dan habuan. Mohon hakim memberi belas kasihan dan kata putus dalam kes ini membabitkan anak guam yang sentiasa memberi kerjasama baik sejak didakwa di mahkamah.

“Jika perintah DNAA diberi, ia membawa maksud Syed Shah Iqmal boleh dituduh bila-bila masa dan akan terus dihantui sebagai pesalah seks.

Wajar simpati terhadap mangsa, tetapi mahkamah menetapkan 13 kali tarikh termasuk sebutan kes berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Norhashimah berkata, pihak pendakwaan masih boleh meneruskan kes walaupun pengadu menarik balik laporan polis berkenaan.

“Pengadu juga tidak mengangkat sumpah di mahkamah bahawa laporan polis ditarik balik atas sukarela atau dipaksa. Kita memohon DNAA kerana keadaan kesihatan pengadu tidak mengizinkan ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Syed Shah Iqmal ketika ditemui media menzahirkan rasa syukur selepas keputusan mahkamah memihak kepadanya.

“Alhamdulillah, saya dibebas dan dilepaskan untuk pertuduhan terbabit. Kes ini pun ada menjejaskan karier saya. Apa-apapun saya bersyukur kes ini sudah selesai,” katanya.

Pada 17 Mei lalu, Timbalan Pendakwa Raya P Vitiya Monisha memaklumkan kepada Jamaludin bahawa pengadu dalam kes itu menarik balik laporan polis dibuat terhadap tertuduh.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal, 27, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita berusia 22 tahun (ketika itu) dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama maksud untuk mencabul kehormatannya di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana, antara jam 3 hingga 4 pagi, 17 Oktober 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi kes menggunakan kekerasan jenayah, pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

BACA:

Promo ubat kurus tapi badan sendiri gemuk, netizen kecam Almy Nadia

[Video] Pilot curang bersama pramugari dalam hotel, isteri nekad ‘ambush’ bilik

Tular video amalan khurafat di Gunung Jerai, jabatan agama ambil tindakan

CATEGORIES