Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya membuat pengumuman mengejutkan dengan melantik Robert Douglas Friend,
Bekas pemain kebangsaan Kanada, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru bagi skuad Harimau Malaya.
FAM dalam satu kenyataan menyatakan bahawa Friend, atau lebih dikenali sebagai Rob Friend, akan memulakan tugas rasminya di Wisma FAM, Kelana Jaya, bulan depan.
Pelantikan beliau ini dilihat sebagai langkah penting dalam struktur organisasi baharu yang bertujuan untuk membawa pembaharuan kepada pasukan kebangsaan.
Menurut kenyataan tersebut, Rob Friend mempunyai pengalaman luas dalam menguruskan kelab bola sepak, termasuk dalam pembangunan strategik stadium dan pusat latihan, pengurusan kewangan, pembelian pemain, serta penajaan.
Pengalamannya yang pelbagai dalam bidang pengurusan bola sepak dijangka akan memberi impak positif dalam merancang program yang melibatkan pasukan kebangsaan, terutama skuad senior dan B-23.
Selain itu, Rob Friend juga akan bertanggungjawab memastikan pasukan yang akan menguruskan struktur organisasi ini terdiri daripada tenaga kerja yang berpengalaman dan berkualiti dalam bidang masing-masing, bagi mewujudkan sebuah pasukan kebangsaan yang lebih mantap.
Lahir di Rosetown, Saskatchewan, Rob Friend kini berusia 44 tahun dan memiliki rekod yang mengagumkan dalam dunia bola sepak selepas bersara sebagai pemain pada tahun 2014. Sebelum ini, beliau terlibat dalam pengurusan hartanah dengan menjadi rakan kongsi pengurusan di DRG Investment Group sejak 2014.
Dari tahun 2017 hingga 2021, Rob Friend mengasaskan Toca Football Canada, sebuah syarikat yang menggunakan teknologi dalam latihan bola sepak. Usahanya yang berjaya itu telah mengumpul modal sebanyak USD150 juta (RM670 juta).
Selain itu, beliau turut menjadi rakan kongsi pengurusan di SixFive Sports Fund, yang memberi tumpuan kepada pelaburan dalam bola sepak profesional melalui pemilikan kelab dan stadium.
Antara pencapaian terbesar beliau adalah peranan sebagai pengasas bersama Canadian Premier League (CPL), yang mana beliau berjaya meningkatkan nilai liga itu kepada USD300 juta (RM1.34 bilion) dalam tempoh enam tahun.
Sebagai pemain, Rob Friend turut mengukir nama dengan mewakili kelab-kelab ternama di Eropah seperti Borussia Monchengladbach, Hertha Berlin, Eintracht Frankfurt, dan 1860 Munich. Di Amerika Syarikat, beliau pernah beraksi untuk kelab LA Galaxy.
Di pentas antarabangsa, Rob Friend juga telah mencatat 32 penampilan bersama pasukan kebangsaan Kanada dari tahun 2003 hingga 2011.
Selain pelantikan Rob Friend, pada 16 Disember lalu, FAM turut mengumumkan pelantikan Peter Cklamovski dari Australia sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, manakala Mohd Nafuzi Zain dilantik sebagai ketua jurulatih skuad B-23, yang akan berkuat kuasa bermula esok.
BACA: Ini senarai Tun yang ada dalam Malaysia, tak sampai 25 pun