Terkini !!! Agong perkenan pengisytiharan darurat di Batu Sapi, PRK ditangguh

Terkini !!! Agong perkenan pengisytiharan darurat di Batu Sapi, PRK ditangguh

Kuala Lumpur, 18 November, 2020 – Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menerima menghadap YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin di Istana Negara hari ini.

Di dalam sesi yang berlangsung selama satu jam bermula dari jam 4.00 petang ini, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mempersembahkan nasihat beliau, susulan daripada keputusan mesyuarat Jemaah Menteri, berkenaan pelaksanaan Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen (P.185) Batu Sapi, Sabah untuk ampun perkenan Seri Paduka Baginda.

Setelah memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki bin Ali; Peguam Negara Tan Sri Idrus bin Harun, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham bin Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Dato’ Abdul Ghani bin Salleh, Al-Sultan Abdullah telah berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan suatu Ordinan dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi P.185 Batu Sapi, Sabah.

Dengan Pengisytiharan ini juga apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud penjalanan PRK bagi P.185 Batu Sapi tidak akan diteruskan dengan tujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang ke-empat penularan wabak COVID-19 dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut. Maka dengan itu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan supaya Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat bagi P.185 Batu Sapi, Sabah dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Sesungguhnya, Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap keselamatan rakyat jelata ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian COVID-19 di negara ini sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri Sabah ke-16 yang diadakan pada 26 September, 2020.

Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda berpendapat bahawa amatlah wajar PRK ini dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat jelata dan kesejahteraan negara.

Perkenan Seri Paduka Baginda ini setelah mengambil iktibar dan pengalaman dari PRU Negeri Sabah ke-16 yang menjadi faktor utama gelombang ketiga penularan COVID-19 di negara.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah merekodkan peningkatan mendadak sehingga 148.4 peratus iaitu sebanyak 3,842 kes kumulatif pada 10 Oktober, 2020, selepas dua minggu dari hari mengundi. Kes positif harian COVID-19 terus meningkat secara mendadak dua minggu berikutnya dengan peningkatan sehingga 193.7 peratus iaitu sebanyak 11,285 kes kumulatif yang telah dicatatkan pada 24 Oktober, 2020.

Perkenan Seri Paduka Baginda ini juga mengambil kira jumlah pemilih berdaftar yang tinggal di luar bahagian P.185 Batu Sapi yang dijangka akan merentas daerah dan negeri untuk pulang mengundi.Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, jumlah pemilih berdaftar P.185 Batu Sapi adalah 32,962 orang dan sejumlah 3,170 orang daripadanya beralamat di luar bahagian Parlimen ini, termasuk di Semenanjung dan Sarawak. Di samping itu, dianggarkan sejumlah 16,000 pemilih beralamat umum, iaitu tiada nombor rumah, dan akan menyukarkan pelaksanaan Undi Pos.

Berhubung dengan peningkatan mendadak kes COVID-19, Al-Sultan Abdullah mengambil kesempatan ini menasihati rakyat jelata berdisplin memainkan peranan masing-masing dalam membantu Kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak ini demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama. Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan dan sanjungan tinggi kepada para wira dan wirawati di barisan hadapan atas ketabahan dan pengorbanan menjalankan tanggungjawab tanpa mengira masa dan penat lelah.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa COVID-19 dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan. Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga wabak COVID-19 ini dapat dibanteras dengan be rkesan dan diakhiri dengan segera.

Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin
Datuk Pengelola Bijaya Diraja
Istana Negar

COMMENTS