Terima hakikat UMNO pegang kerusi terbanyak, Tajuddin tegur Mustafa

Terima hakikat UMNO pegang kerusi terbanyak, Tajuddin tegur Mustafa

Memang tidak ada istilah “abang besar” dalam persefahaman yang membentuk Perikatan Nasional (PN), namun pada masa sama semua parti perlu mengakui bahawa Umno adalah penyumbang kerusi terbanyak dalam gabungan berkenaan, kata pemimpin Umno.

Anggota Majis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman, misalnya berkata dari suatu sudut Umno merupakan parti besar dan mempunyai struktur yang lengkap sehingga ke akar umbi.

“Bukan soal berlagak seperti abang besar, tapi Umno adalah parti yang mempunyai struktur parti menyeluruh seluruh negara, termasuk akar umbi.

“Dengan cara ini Umno adalah parti yang paling dekat dan banyak berbakti kepada rakyat.

“Saya kira Mustafa (Ali) orang lama dalam politik dan dia memahami perkara ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Tajuddin yang juga anggota parlimen Pasir Salak berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas setiausaha agung PAS, Mustafa Ali, yang berkata Umno perlu mengelak daripada mentaliti “abang besar” walaupun memiliki kerusi terbanyak dalam PN.

Mustafa berkata demikian di media sosial pada 19 Mei lalu.

Umno sudah buktikan komitmen

Mustafa yang pernah menjadi timbalan menteri dalam kerajaan semasa PAS menjadi sebahagian daripada BN pada 1970-an menambah, ketika ini ada tanda-tanda dan kecenderungan untuk Umno bertindak sebagai “abang besar”.

“Faktor yang mampu memperkukuhkan kerajaan PN walaupun majoritinya kecil ialah sifat hormat-menghormati, harga-menghargai, dengan bersandarkan kepada proses konsultasi dan syura dalam membuat keputusan,” kata Mustafa.

Seorang lagi anggota MT Umno, Armand Azha Abu Hanifah, berkata semua pihak harus menerima hakikat bahawa Umno adalah penyumbang kerusi terbesar.

“Tiada istilah abang besar, tetapi sepatutnya harus terima hakikat bahawa Umno salah satu parti penyumbang kerusi terbesar dalam PN, ini adalah satu fakta yang tidak boleh dinafikan,” katanya.

Pada masa sama kata Armand, Umno menghormati prinsip dan kerjasama dalam PN.

Katanya ia dibuktikan dengan majoriti kepimpinan Umno dan BN yang memberikan komitmen tinggi dalam pentadbiran negara terutama semasa berdepan Covid -19.

“Jadi saya ingin nyatakan Umno atau BN tak ada isitilah menjadi abang besar, tetapi lebih kepada semangat setiakawan politik,” katanya.

Umno, katanya, konsisten sejak awal menyatakan PN adalah kerajaan kerjasama di antara ahli-ahli parlimen semua parti yang berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub, berkata beliau yakin parti itu bukanlah berlagak untuk menjadi abang besar.

“Saya tidak fikir Umno berlagak seperti itu. Mustafa tidak seharusnya mendahului andaian dan tanda-tanda dari realiti.

“Umno telah membuktikan keikhlasan kerjasama dalam BN sekian lama. Mustafa tahu keikhlasan Umno. Maka begitu juga keberadaan Umno dalam PN.

“Umno tahu setiap parti tanpa mengira kecil besarnya masing-masing berperanan untuk menegak PN,” katanya kepada Malaysiakini.

Jelasnya, bekas pemimpin kanan PAS itu perlu sedar bahawa keutamaan Umno ialah mengukuhkan Muafakat Nasional.

Berita Penuh :https://m.malaysiakini.com/news/526850

COMMENTS