Terbukti RUU355 sandiwara Pas untuk raih sokongan sahaja – Sany Hamzan

Terbukti RUU355 sandiwara Pas untuk raih sokongan sahaja – Sany Hamzan

Isu pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang dibawa PAS jelas membuktikan bahawa isu tersebut diangkat semata-mata untuk meraih sokongan politik tanpa meneliti secara terperinci kedudukan sebenar untuk direalisasikan.

Meskipun sudah berada dalam Kerajaan, PAS gagal meletakkan agenda tersebut sebagai keutamaan mereka seperti mana ketika isu ini dimainkan.

Perkembangan ini turut disokong dalam ucapan TImbalan Presiden PAS, YB Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengatakan bahawa ketika PAS menjadi pembangkang mereka membawa isu tersebut tanpa memikirkan realiti sebenar bagaimana pindaan undang-undang mempunyai prosedur yang panjang dan perlu dirujuk kepada perlembagaan persekutuan.

Ternyata PAS hanya menjadikan isu tersebut sebagai desakan bermotifkan politik ketika berada di barisan pembangkang dan bersikap sambil lewa pula setelah memegang kuasa.

Berdasarkan kepada perkembangan ini, saya mengajak semua penyokong-penyokong PAS untuk menilai semula pendirian terhadap PAS yang sudah berubah selepas memegang tampuk kuasa.

Kita menyaksikan begitu banyak pendirian dan kenyataan yang bercanggah ketika PAS menjadi pembangkang dan selepas berperanan sebagai Kerajaan. Terbaru adalah dalam isu RUU 355.

Justeru saya menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS yang masih mempunyai kesedaran bagi memperjuangkan isu rakyat untuk bersama dengan kami dalam AMANAH.

AMANAH terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang ikhlas untuk berjuang berasaskan kepada prinsip dan menolak sebarang agenda mempermainkan rakyat dengan isu-isu agama dan kaum.

MOHD SANY HAMZAN
Pengarah
Biro Mobilisasi AMANAH Nasional

COMMENTS