Seorang askar Amerika Syarikat (AS) yang ditahan Pyongyang selepas memasuki Korea Utara secara haram akhirnya diterbangkan ke sebuah pusat tahanan di Texas, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller berkata, pengusiran Prebet Travis King dari Pyongyang dilakukan dengan bantuan kerajaan Sweden dan China.
“Kami menghargai dedikasi pasukan antara agensi yang berusaha tanpa jemu berhubung keprihatinan mereka terhadap keadaan King.
“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Sweden dan Republik Rakyat China atas peranan diplomatik dan bantuan yang diberikan,” kata Penasihat Keselamatan Negara, Jake Sullivan pula.
Awal kelmarin, media rasmi KCNA melaporkan bahawa Korea Utara memutuskan untuk mengusir King selepas askar berkenaan memasuki wilayahnya secara haram semasa menyertai lawatan ke Kawasan Keselamatan Bersama (JSA) di sempadan Korea Utara-Korea Selatan.
Tambah laporan sama, siasatan terhadap King juga telah selesai dengan dia mengaku sengaja menceroboh wilayah Korea Utara kerana kecewa terhadap layanan buruk serta diskriminasi perkauman dalam tentera AS.
Tambah Miller, sejurus tiba di AS, King dibawa ke Pusat Perubatan Tentera Brooke di San Antonio, Texas.
Tidak dijelaskan sama ada dia berdepan tindakan disiplin, namun seorang pegawai berkata, fokus dalam beberapa minggu akan datang adalah berkaitan kesihatan King.
BACA JUGA :