Sejak dua menjak ini media sosial penuh dengan ulasan tentang kejayaan Chef Selebriti, Khairul Aming dalam meraih RM1.2 juta dalam tempoh 3 minit ketika melancarkan produk keduanya.
Rata-rata mengupas bagaimana Khairul Aming mampu meraih kejayaan sebesar itu tanpa perlu melibatkan sebarang pemasaran besar-besaran seperti kebanyakan pengasas produk yang lain
Bagi seorang pengguna Facebook, Ammar Zahar, dia sejujurnya menganggap strategi pelancaran Dendeng Nyet Berapi sebenarnya biasa-biasa sahaja.
Namun ada sesuatu yang menarik perhatiannya mengenai sikap pempengaruh itu yang jarang ada pada peniaga lain.
Kami kongsikan pandangannya yang kini meraih hampir 40,000 tanda suka di Facebook;
Strategi pelancaran Khairul Aming sebenarnya biasa-biasa je. Tak ada yang fancy pun.
Serius.
Tanyalah mana-mana IM, saya rasa dia orang akan setuju. Tak perlu kupas dah boleh tahu.
Tapi.
Macam mana dengan strategi ‘beshe-beshe’ dia boleh hentak lebih satu juta dalam 3 minit lebih?
Resipi dia bukan pada ‘Hey Whats Up Guys’.
Resipi hakiki dia adalah Khairul Aming itu sendiri.
Menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk, persiapan pelancaran yang memakan setahun, memerlukan fokus, disiplin, kesabaran, dan komitmen yang tinggi.
Dalam tempoh setahun itu, mesti banyak je member cucuk buat projek lain, cuba pasaran lain, dan macam-macam lagi.
Tapi tak.
Dia hanya fokus nak lancarkan satu produk tradisional yang tak ada magik apa pun. Opah kita dulu dah pernah buat dendeng.
Istimewanya dendeng Khairul Aming adalah pada ‘tepi-tepi’ dia, ekosistem dia.
Bayangkan kalau Khairul Aming buat benda lain contohnya baju Melayu Khairul Aming sebab dia rasa jual dendeng ni nak kena tunggu setahun baru dia yakin, mesti cerita dia tak macam ni.
Konsistensi Aming ni yang saya rasa saya sendiri pun tak ada.
Tidak hairanlah tak boleh buat sejuta dalam 3 minit.
Kita selalu terpengaruh dengan benda-benda yang ‘flashy’.
Kalau boleh nak buat produk yang jin pun tak pernah jumpa produk kita tu di alam ghaib. Inovasi lah katanya.
Kita acapkali terlepas pandang pada proses yang konsisten, fokus pada benda mudah dan disiplin yang tinggi.
Pelajaran berharga dari Khairul Aming buat pendiri perniagaan bukanlah tentang hebatnya strategi pemasaran dia.
Pelajaran paling berharga adalah hebatnya sikap perniagaan dia. Itulah yang patut dicontohi