Seorang suri rumah dijatuhi denda sebanyak RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Isnin selepas mengaku bersalah menawarkan perkhidmatan seksual melalui WhatsApp.
Tertuduh, Aniza Shakiera Ahmad, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.
Aniza didakwa menawarkan perkhidmatan seksual di sebuah rumah tumpangan di Padang Seri Paduka, Kubang Kerian, Kota Bharu,
pada pukul 7.30 malam, 16 November lalu, dengan bayaran RM150 untuk sekali langganan.
Menurut fakta kes, tertuduh ditangkap oleh pihak polis semasa Op Noda yang melakukan serbuan ke atas premis tersebut.
Semasa serbuan, Aniza didapati menawarkan perkhidmatan seksual melalui WhatsApp.
Dia didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara selama setahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd Nor, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Ariyani Mohd Amin @ Abdul Hamid dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan.
Peguam pembela memohon agar hukuman denda dikurangkan dengan alasan tertuduh adalah seorang suri rumah sepenuh masa yang mempunyai tujuh anak, manakala suaminya bekerja di kilang memproses ayam.
Mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman denda RM2,000, atau penjara dua bulan jika tertuduh gagal membayar denda tersebut.
BACA: Panas!! Pemimpin Bersatu Sabah umum keluar parti