Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mengumumkan pelarasan tarif air domestik yang akan dilaksanakan di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan,
ia melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu bermula 1 Februari tahun depan. SPAN memberi kenyataan tersebut hari ini.
Menurut SPAN, pelarasan tarif air akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif atau Tariff Setting Mechanism (TSM).
Di bawah TSM, struktur dan komponen tarif akan diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, dan tarif air akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.
“Pelarasan tarif air bagi kategori domestik tidak lagi boleh ditangguhkan agar tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka masa panjang, sekali gus memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan air yang dinikmati oleh rakyat.
“Justeru, pelarasan tarif air yang mencerminkan kos bekalan air sangat penting bagi membolehkan operator air meningkatkan tahap perkhidmatan dalam membekalkan air yang berkualiti secara berterusan,” kata SPAN.
Menerusi semakan tarif ini, operator air lebih bersedia untuk membuat pelaburan berterusan bagi membangunkan infrastruktur sistem bekalan air seperti membina atau menaik taraf loji rawatan air, membuat penggantian paip usang, melaksanakan penyelenggaraan secara berkala, dan menangani aduan dengan lebih cekap.
Tindakan ini diambil untuk menjamin kelangsungan perkhidmatan bekalan air dan memenuhi ekspektasi pengguna.
Walaupun demikian, SPAN memberitahu bahawa kenaikan ini masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022.
“Walau bagaimanapun, bagi meminimumkan impak kenaikan ke atas bil air bulanan rakyat, operator bekalan air di negeri masing-masing disarankan untuk meneruskan inisiatif sedia ada, iaitu memberikan bantuan kepada pengguna domestik secara bersasar seperti pemberian rebat kepada golongan B40,” jelasnya lagi.
Sehubungan dengan itu, SPAN menyeru semua pengguna untuk bersama-sama mengamalkan penggunaan air secara berhemat. Beberapa langkah yang boleh diamalkan termasuk menggunakan produk cekap air di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air oleh SPAN.
Pengguna juga digalakkan memeriksa dan membaiki sebarang kebocoran paip dan pili air di premis masing-masing serta memasang sistem penuaian air hujan dan mengguna air kitar semula sebagai sumber air alternatif untuk kegunaan bukan minuman.