Tindakan seorang wanita yang meninggalkan komen jelik dan menghina masyarakat Orang Asli selepas keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK)
Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan, memihak kepada calon Barisan Nasional, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, menerima kecaman ramai.
Wanita yang juga seorang guru sekolah agama di Negeri Sembilan itu didakwa merendah-rendahkan masyarakat Orang Asli
Di kawasan tersebut dengan menulis, “Taraf-taraf Orang Asli sahaja penyokong U****p ini.”
Walaupun dia telah membuat permohonan maaf, tindakan tersebut tetap mengecewakan masyarakat Orang Asli.
Sebagai seorang guru, wanita itu seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.
“Saya mohon maaf atas kekhilafan saya menghina masyarakat Orang Asli. Saya mengaku kesilapan saya,” tulisnya dalam permohonan maafnya.
Dia juga meminta seorang pengguna media sosial untuk memadamkan hantaran komen jelik yang telah ditularkan. “Saya mohon tuan padamkan posting ini dan berjanji tidak akan mengulanginya,” tambahnya.
Susulan itu, seorang pengguna media sosial, Bahari Pandak, mencadangkan agar tindakan tegas diambil terhadap guru tersebut.
“Assalamualaikum, saya sebagai wakil dari komuniti Orang Asli mencadangkan agar guru tersebut meletakkan jawatan atau dikenakan tindakan tatatertib dilucutkan jawatan. Perkara menghina seperti ini bukan sekali dua berlaku kepada kami,” tulisnya melalui ciapan di X (Twitter) pada Isnin.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Putra Hashim, menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana guru yang melanggar peraturan.
“Siasatan lanjut akan dilaksanakan berdasarkan Subperaturan 19(1)(a), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] berkaitan Pernyataan Awam.
Berdasarkan peraturan ini, seseorang pegawai awam tidak boleh, secara lisan atau bertulis, membuat pernyataan awam yang boleh memudaratkan dasar, rancangan, dan keputusan kerajaan mengenai apa-apa isu,” katanya pada Isnin, memetik laporan Kosmo!.
Putra juga menambah bahawa kes ini akan dirujuk kepada para 5.3 (iii) dalam Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 11 Tahun 2023 mengenai Garis Panduan Nilai dan Etika Penggunaan Media Sosial KPM.
Menurutnya, kakitangan awam KPM tidak boleh membuat atau berkongsi sebarang pernyataan yang boleh menjejaskan imej dasar kerajaan, maklumat yang tidak sahih, fitnah, hasutan, atau lucah.
“Oleh itu, pemantauan akan dilaksanakan terhadap guru yang terlibat dan laporan akan dibuat oleh Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) JPN Negeri Sembilan,” katanya.