Tanpa GST, cadangan had cukai pendapatan 10% adalah mustahil

Tanpa GST, cadangan had cukai pendapatan 10% adalah mustahil

Seorang pakar ekonomi menolak cadangan Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) supaya kadar cukai pendapatan peribadi dihadkan kepada paling tinggi 10%.

Profesor ekonomi di Universiti Sunway Yeah Kim Leng berkata, potongan cukai kurang berkesan dalam merangsang ekonomi dan akan hanya menambah pendapatan boleh guna isi rumah berpendapatan sederhana dan tinggi.

Beliau memberitahu FMT bahawa perbelanjaaan langsung kerajaan seperti pemberian tunai kepada kumpulan berpendapatan rendah adalah lebih berkesan untuk merangsang ekonomi Malaysia.

“Ini kerana sebahagian besar daripada potongan cukai akan disimpan, bukannya dibelanjakan oleh pembayar cukai berpendapatan tinggi.

“Tanpa sumber hasil cukai alternatif seperti cukai berasaskan penggunaan, iaitu cukai barangan dan perkhidmatan (GST), cadangan itu sukar untuk dipertimbangkan oleh kerajaan dalam menangani kesan besar wabak Covid-19 ke atas ekonomi,” katanya.

Yeah berkata, mengehadkan kadar cukai pendapatan 10% akan menyaksikan Putrajaya mengutip kurang daripada separuh jumlah RM38 bilion yang diperolehi tahun lepas, yang mewakili 14% hasil kerajaan.

Beliau berkata, ia akan memburukkan lagi jangkaan hasil kerajaan tahun ini, yang sememangnya sudah sedia rendah.

“Susulan pertambahan perbelanjaan kerana pakej rangsangan, defisit kewangan kerajaan akan menjadi bertambah besar jika hasil cukai juga jatuh,” katanya.

Semalam FMM menggesa kerajaan mengehadkan kadar cukai pendapatan peribadi kepada 10% bagi membantu majikan dan pekerja.

Dengan sesetengah syarikat mengalami penurunan pendapatan sehingga 50%, ia berkata, langkah pengurangan kos seperti pembuangan pekerja, cuti tanpa gaji dan pembekuan kerja dijangka berlaku dalam tempoh 3 hingga 6 bulan akan datang.

Tiada cukai jika syarikat gulung tikar

Dalam pada itu, Carmelo Ferlito dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) berkata, pengurangan cukai adalah langkah yang disambut baik ketika waktu sukar seperti sekarang, terutama susulan kesan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) ke atas semua pihak.

Bagaimanapun katanya, langkah itu tidak banyak memberi kesan sekiranya PKP terus dilaksanakan.

“Jika tidak ada untung atau syarikat gulung tikar, maka tiada cukai yang boleh dikutip,” katanya.

Beliau sebelum ini mencadangkan supaya PKP ditamatkan secara berperingkat bagi merangsang ekonomi, dengan pekerja disaring dan tempat kerja dinyahjangkitan bagi menghindari jangkitan semula wabak Covid-19.

Beliau berkata, kesan besar ke atas ekonomi yang dirasai semua pihak adalah berpunca daripada PKP, bukannya wabak itu sendiri, selain menambah bahawa insiden kehilangan pekerjaan boleh dihalang dengan memastikan sektor perniagaan dibantu.

Perdana menteri dijangka membuat pengumuman berkaitan PKP pada Jumaat. Fasa ke-3 PKP yang bermula 15 April lepas dijangka tamat Selasa depan (28 April).

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/04/22/had-cukai-pendapatan-10-tidak-akan-rangsang-ekonomi-kata-pakar/